Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Mathni Razak lawan rasa gugup




Walaupun memiliki penampilan menarik, tetapi belum cukup untuk Mathni Razak, 30, membina keyakinan diri dalam bidang lakonan.

Anak jati Pasir Puteh, Kelantan berdarah kacukan Melayu-Arab ini mengakui memiliki ‘self esteem’ yang rendah apabila memulakan langkah pertama.

“Saya belum cukup yakin. Setiap kelas lakonan yang saya sertai, semua ilmu yang saya dapat susah nak dapat di tempat lain.

“Sepanjang menyertai kelas, saya mendapat ilmu seperti keyakinan diri, cara penyampaian, cara sesuaikan diri di set bersama kru dan pelakon,” katanya.

Mathni yang juga model berkata, setiap kali berada di set penggambaran, dia pasti bertemu orang baru dan ia membuatkan dia agak gugup.

Tanpa berselindung, Mathni mengakui dia mempunyai masalah ‘anxiety’ yang boleh menyebabkan jantungnya berdebar, tapak tangan berpeluh dan perwatakan menjadi agak kelam-kabut.

“Jika diikutkan, saya tidak puas hati lagi dengan diri sendiri terutama tahap keyakinan dan cara penyampaian yang tidak memuaskan. Saya nak cari lebih lagi.

“Saya rasa ada keyakinan diri, tapi apabila berjumpa pengalaman atau perkara baru, saya jadi gementar. Apabila gementar, saya jadi gugup dan kelam-kabut. Jadi saya kena banyak tenangkan diri,” katanya.

Ditanya cara mengatasi masalah itu, Mathni berkata, dia cuba berdepan punca perasaan itu sendiri iaitu orang ramai.

Mathni Razak berdarah kacukan Melayu-Arab ini akui memiliki ‘self esteem’ yang rendah. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Katanya, dia sentiasa berusaha berdepan dengan orang ramai dengan melatih diri untuk menghilangkan rasa gementar.

“Ketika pertama kali berlakon, saya pernah dimarahi pengarah dan dia suruh saya masuk kelas lakonan. Rakan-rakan tenangkan saya dan menasihati supaya jangan dilayan dan sebagai pelakon baru, dimarahi pengarah adalah perkara biasa,” katanya.

Menyahut cabaran pengarah itu, Mathni menyertai beberapa kelas lakonan anjuran pelakon hebat tanah air seperti Fauziah Nawi, Zul Huzaimy dan bengkel lakonan anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Dia juga mengikuti kelas lakonan teater Tahap 1 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada Januari lalu.

“Setiap kelas yang saya pergi, saya dapat sesuatu yang saya sudah lama cari dalam diri dan tidak pernah dapat sebelum ini.

“Kini persediaan itu sudah ada sedikit, setiap guru memberi ilmu berguna dan bergantung kepada saya untuk mengamalkannya,” katanya.

BIMBANG GOSIP JAHAT

Mungkin tidak ramai tahu, jejaka ini sebenarnya sudah berkahwin pada 2015 dengan seorang usahawan dikenali sebagai Erin dan dikurniakan seorang anak lelaki, Abdul Mateen Arjuna yang kini berusia tiga tahun.

Mathni berkata, isterinya memahami kerjayanya sebagai pelakon dan dia juga banyak memberi sokongan.

“Dia tahu turun naik dalam dunia seni ini perkara biasa. Isteri berpesan sebagai artis baru, tawaran ada atau tidak, ia adalah cabaran dan jangan berputus asa,” katanya.

Mathni yang kali pertama berlakon dalam filem Jin Notti bersyukur sehingga kini perasaan putus asa belum lagi terbit kerana ada sokongan daripada isteri dan ibunya di kampung.

Baru selesai jalani penggambaran telefilem berjudul Sayangku Mia. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Dengan kepercayaan yang diberikan isteri dan keluarga, dia risau sekiranya ada gosip jahat muncul sehingga boleh mengganggu gugat rumah tangga yang dibina.

“Selama lebih dua tahun bergelar pelakon, saya paling bimbang dengan gosip jahat. Saya sudah kahwin dan takut ia mengganggu rumah tangga, jadi saya risau kalau ada perkara yang saya tak buat, ia akan turut ganggu kehidupan dan kerjaya saya.

“Sebab itu saya amat berhati-hati dalam merencana kerjaya seni. Mujur saya tidak menyimpan sebarang sejarah hitam yang boleh buatkan saya takut,” katanya.

Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri, Mathni sekeluarga meraikan hari raya pertama sehingga ketiga di kampung halaman isterinya di Pekan, Pahang. Baki tiga hari lagi mereka meraikannya di kampung halaman Mathni di Pasir Puteh, Kelantan.

“Masuk tahun ini sudah tiga tahun kami pulang berhari raya pada hari raya pertama sebab kami berdua sibuk berniaga sehingga malam raya.

“Macam tahun ini, sepanjang Ramadan lalu kami berniaga baju Melayu di Ampang,” katanya.

Projek terbaru, selepas muncul dalam drama Nur arahan Shahrulezad lalu, dia baru saja selesai penggambaran telefilem berjudul Sayangku Mia untuk siaran RTM sebelum Ramadan lalu.



This post first appeared on Artis Meletop, please read the originial post: here

Share the post

Mathni Razak lawan rasa gugup

×

Subscribe to Artis Meletop

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×