Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Didakwa hamil, Elfira Loy mohon doa peminat




Pelakon Elfira Loy memohon doa yang baik-baik daripada peminatnya selepas didakwa sedang berbadan dua.

Kata pelakon berusia 25 tahun itu, sejak awal perkahwinannya dengan Faris Khairol Anuar pada 1 Januari lalu, dia kerap menerima doa daripada peminat yang tidak sabar-sabar melihatnya menimang cahaya mata dengan kadar segera.

Desas-desus mengenai kehamilan Elfira mula bertebaran selepas peminat menyedari berlaku perubahan pada fizikalnya yang kelihatan semakin berisi sewaktu majlis resepsi kelima mereka di Melaka pada 2 Mac lalu.

Dalam beberapa keping gambar yang dikongsi pelakon itu dalam Instagramnya, peminat mendakwa dapat melihat ‘baby bump’ Elfira pada bahagian perutnya sehingga menyebabkan dia dihujani ucapan tahniah.

Ikuti penjelasan daripada pelakon drama Qalesya itu ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen koleksi Hari Raya jenama Alhumaira Contemporary di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini yang menyaksikan dirinya dilantik sebagai duta.

Boleh Elfira jelaskan tentang kolaborasi bersama jenama Alhumaira Contemporary?

ELFIRA LOY: Sebenarnya saya memang pengikut jenama ini sejak dua tahun lalu. Cuma pemiliknya memberitahu, pihak mereka baru menyedari tentang hal tersebut. Jadi, mereka mengambil saya sebagai duta sebagai langkah untuk mengembangkan lagi jenama ini. Salah satu faktor saya menerima tawaran ini disebabkan tertarik dengan cara mereka yang tidak terlalu mengejar trend semasa. Paling penting, mereka sangat menjaga material produk agar kekal berkualiti walaupun rekaannya ringkas. Sebab itu saya rasa jenama ini sangat eksklusif.

Apakah peranan anda selaku duta jenama ini?

Pelantikan saya selaku duta, akan memberi kelebihan buat kedua-dua pihak. Sebelum ini mereka tidak pernah melantik mana-mana selebriti sebagai duta. Selaku duta, saya akan melakukan banyak tutorial mengayakan hijab dengan pelbagai stail berbeza untuk pengikut dalam laman sosial.

Bagaimana pula dengan perkembangan karier lakonan?

Tahun ini saya akan kembali aktif berlakon. Sebab itu saya hentikan seketika bisnes pakaian yang diusahakan dan hanya menerima tawaran berkolaborasi dengan jenama lain. Selepas Alhumaira, saya akan menjadi duta kepada sebuah lagi jenama. Jadi, saya boleh kembali memberi fokus pada lakonan. Terkini, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah drama, telefilem dan drama untuk siaran bulan Ramadan berjudul Salam Geng. Telefilem tersebut akan disiarkan di saluran Astro Ceria (611).

Adakah selepas bergelar isteri anda bersikap selektif terhadap tawaran lakonan?

Saya okey sahaja dengan sebarang tawaran yang hadir. Hal ini kerana, saya sendiri pun sudah lama tidak berlakon dan peminat memang sering bertanya produk terbaharu di televisyen. Saya akui sangat seronok dapat kembali berlakon kerana telefilem Salam Geng merupakan naskhah yang melibatkan kisah kanak-kanak. Secara tidak langsung, ia mengingatkan saya tentang penglibatan awal dalam dunia lakonan. Bagi saya naskhah sebegini tidak terlalu berat dan sesuai untuk saya yang ingin membuat kemunculan semula dalam lakonan.

Boleh kongsikan pandangan terhadap khabar angin yang mendakwa anda telah hamil?

Doakan yang baik-baik buat saya dan suami. Sejak awal perkahwinan lagi saya sering menerima doa daripada peminat yang inginkan kami segera menimang cahaya mata.

Saya faham, peminat menantikan berita gembira andainya saya hamil. Sebab itu saya minta semua doakan hanya yang terbaik buat kami. Insya-Allah.



This post first appeared on Artis Meletop, please read the originial post: here

Share the post

Didakwa hamil, Elfira Loy mohon doa peminat

×

Subscribe to Artis Meletop

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×