Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Midnight Fusic capai impian

IMPIAN kumpulan Midnight Fusic untuk melancarkan album penuh sulung akhirnya tercapai selepas beberapa tahun dalam aktif industri hiburan tanah air.

Istimewanya, album dilancarkan pada 2 Mei lalu itu menggunakan nama kumpulan itu sendiri sebagai judulnya.

Midnight Fusic yang dianggotai Arif Kamarudin selaku penyanyi, Adrian Danial (gitar utama), Firdaus Azmi (bass) dan Muaz Rabbani (dram), jelas teruja apabila kini dapat menyajikan album penuh kepada peminat Mereka khususnya.

Apalagi, selama ini mereka tidak henti menghasilkan karya berkualiti dan semestinya mahu menghidangkan lebih banyak Lagu kepada pendengar. Kumpulan terbabit mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan album itu.

Menurut anggotanya Arif, mereka memutuskan untuk mempelbagaikan genre dalam 14 lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan. Terdapat beberapa lagu baharu yang belum pernah diperdengarkan, turut dimuatkan.

"Peminat semestinya akan mengesan ada sedikit perubahan dari segi hala tuju kerana pelbagai genre dicampur-aduk. Bagaimanapun, kami tidak lari jauh dari segi identiti muzik asal Midnight Fusic.

"Album ini juga turut memuatkan empat lagu yang baharu dilancarkan iaitu Am I In The Right Mind? How Will I Know, Take You There, dan Think About. Semua lagu ini memiliki mesej tertentu yang mendalam," katanya.

Menurut Arif, rencah utama yang mereka ingin suntik dalam karya ini adalah mengutarakan pelbagai isu-isu penting yang berlaku dalam masyarakat. Baik masalah pergelutan emosi mahupun kisah cinta.

Bagi mereka, mesej sebegitu penting demi menjadikan karya dihasilkan membawa makna yang lebih besar. Selain itu, semestinya mereka mahu setiap mesej terbabit mampu meninggalkan kesan kepada pendengar.

"Am I In The Right Mind adalah sebuah lagu berkisar penderitaan seseorang melawan penyakit keresahan (anxiety). Mereka sentiasa persoalkan pelbagai hal demi memastikan diri mereka benar.

"How Will I Know pula adalah kesinambungan terhadap lagu Am I In The Right Mind. Ia mengenai pelbagai persoalan yang menguasai fikiran dari semasa ke semasa," katanya.

Mereka turut menyuntik elemen 'putar belit' dalam lagu Take You There. Meskipun lagu terbabit menggambarkan situasi gembira, namun sebenarnya banyak kisah duka di sebalik liriknya.

"Lagu ini adalah sebuah kisah mencari satu cara yang mampu melepaskan diri kita daripada rasa sengsara dan kekacauan dalam dunia. Melodinya kedengaran seperti seseorang itu sedang bergembira, tapi sebaliknya dalam lirik ditulis," katanya.

Tidak ketinggalan, mereka juga semestinya tidak mahu menyisihkan lagu berkisar percintaan. Bagaimanapun, mereka menggunakan pendekatan yang lebih tragis di mana kisahnya mengenai cinta bertepuk sebelah tangan.

"Think About pula adalah sebuah lagu yang bercerita mengenai fasa awal membina hubungan antara dua insan. Mereka masing-masing jatuh cinta, namun tidak pasti sama ada cinta itu dirasai dua hala atau tidak," katanya.

Meskipun memuatkan 14 lagu, Midnight Fusic mengakui mereka sebenarnya tidak puas dan berhajat untuk menambah beberapa lagu lagi. Bagaimanapun, akhirnya mereka memutuskan untuk membawa lagu-lagu itu ke projek album seterusnya.

"Semestinya menyeronokkan apabila dapat menambah beberapa buah lagu lagi, tapi rasanya ia terlalu berlebihan. Justeru, kami rancang untuk memasukkannya dalam album akan datang nanti saja," katanya.

Sebagaimana mereka menyalurkan emosi sebaiknya dan elemen sentimental dalam setiap lagu, Midnight Fusic berharap ia mampu menyentuh hati pendengar juga. Bagi mereka, itu sudah cukup bermakna.

"Kami cuma mahukan pendengar bertemu cara tersendiri dalam menyalurkan emosi yang cukup mendalam apabila mendengar album ini. Ia dihasilkan untuk memberi peluang kepada pendengar meneroka diri mereka," katanya.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Midnight Fusic capai impian

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×