Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Jodoh Isyariana belum tertulis

Pesona wajah Isyariana Che Azmi, 31, menjadi dambaan lelaki. Seraut wajah lembut, tutur kata sopan dan memiliki wajah persis penyanyi popular Indonesia, Agnes Monica, namun, tidak bernasib baik dalam soal cinta.

Pada usia awal 30-an, kebanyakan wanita seusianya bahagia bersama suami dan anak-anak, namun Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu pula sebaliknya, masih 'struggle' membina kerjaya lakonan yang baru berkembang.

Seperti jodoh, kerjaya lakonan dan nyanyian Isyariana juga berdepan dengan laluan sukar, sebelum bakatnya betul-betul diterima peminat.

Tatkala diajukan persoalan hati, bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia 2016 itu berkata, dia tidak terburu-buru mengejar jodoh, biarpun usia meningkat matang.

Ramai wanita seusianya sudah mengecapi bahagia, namun Isyariana pula lebih selesa dengan perjalanan hidup yang dilalui. Baginya, percayalah kepada ketentuan takdir.

Bukan tiada pengalaman diulit cinta, namun jodoh belum tertulis buatnya. Tidak serik, sebaliknya bekas penuntut jurusan seni bina, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang itu terpaksa mengenepikan soal cinta, lantaran memikul tanggungjawab terhadap keluarga.

"Saya sedar semakin berusia, tetapi tidak pernah bimbang belum ditakdirkan bertemu jodoh. Bagi saya, lebih baik menunggu insan yang tepat daripada tersalah membuat pilihan.

"Pandangan saya ini bukan disebabkan pernah melalui perhubungan cinta toksik, sebaliknya saya anak sulung dalam keluarga. Di atas bahu saya terpikul tanggungjawab besar demi membahagiakan keluarga.

"Jadi, soal cinta jatuh pada kedudukan nombor ketiga atau keempat. Ini bermakna ada perkara yang perlu diberikan keutamaan dalam hidup saya.

"Kerjaya dan keluarga adalah nadi hidup saya. Saya menanggung ibu dan adik tiri, ini menjadi tanggungjawab saya. Kadang kala saya terlupa memikirkan soal diri sendiri," katanya kepada BH Online.

Lagipun, katanya, dirinya baru sahaja mula dikenali, jadi lebih baik fokus kepada kerjaya buat masa ini.

Bakatnya dikesan penyanyi Cat Farish yang menubuhkan kumpulan duo, Hanarose yang menggandingkannya dengan Eka Sharif pada 2014.

Hanarose pernah tampil dengan single Girlfriend, malah turut menyanyikan lagu runut bunyi filem Usin UFO, Coverina dan Pengantin Malam.

Namun, jodoh Isyariana bersama Eka tidak panjang apabila Hanarose dibubarkan pada 2016. Isyariana kemudiannya mencuba nasib dalam program realiti, Akademi Fantasia 2016, namun hanya mampu bertahan hingga minggu kelima.

Bagaimanapun, Isyariana berkata, dia bukanlah seorang yang mudah berputus asa apabila berdepan kesukaran dalam dunia nyanyian.

Wanita kelahiran Temerloh, Pahang itu memulakan langkah sebagai pelakon dengan mengikuti kelas lakonan bersama guru berpengalaman, Ellie Suriaty.

Nama Isyariana perlahan-lahan menjadi perhatian apabila membintangi drama popular seperti Urusan Hati Cik Drama Queen, Cik Serba Tahu, Duda Pujaan Dara, Lelaki Kiriman Tuhan, Puteri Yang Ditukar dan banyak lagi.

Bagaimanapun, namanya benar-benar melonjak apabila membintangi drama Satukan Rasa bergandingan dengan Siti Nordiana dan Khai Bahar.

"Perjalanan kerjaya lakonan menyusuri jalan sukar, tidak seperti pelakon baharu lain yang mudah mengecapi populariti dengan mempertaruhkan satu drama.

"Bagaimanapun, saya bersyukur akhirnya bakat saya diterima. Walaupun semakin ramai selebriti media sosial mencari peluang bertapak sebagai pelakon, ia tidak pernah mengancam saya.

"Lagipun, saya bukannya popular mana, tetapi sentiasa percaya kepada rezeki. Saya juga tidak gemar bersaing kerana apa lebih utama fokus kepada kerjaya dan diri sendiri," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia sentiasa memperbaiki mutu lakonan pada saat peminat memerhati bakatnya.

"Saya tidak mahu mempersia-siakan peluang yang terbentang depan mata. Oleh itu, saya tidak mahu membandingkan diri dengan orang lain.

"Selain lakonan, saya juga ingin kembali aktif menyanyi. Jadi, saya tidak mahu fokus tersasar disebabkan sibuk membandingkan bakat dengan orang lain," katanya.

Mengimbau momen diangkat sebagai Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 33, Isyariana berkata, kemenangan itu dirasakan seperti mimpi.

Tidak terjangkau di fikirannya mampu menewaskan artis lain yang lebih hebat seperti Bunga Isme, Riena Diana, Yuna Rahim dan ramai lagi.

Isyariana mengakui, kemenangan ABPBH 33 memberikan impak yang besar dalam kerjaya seninya.

Bagaimanapun, Isya menafikan semakin 'demanding' atau mula lupa diri gara-gara kemenangan.

"Saya bersyukur kemenangan dalam ABPBH 33 menjadikan kerjaya saya semakin lancar, malah saya menerima tawaran lakonan berlipat kali ganda.

"Impaknya memang besar tetapi itu tidak bermakna saya boleh bersikap 'demanding' dengan harga tidak masuk akal.

"Sebelum kemenangan pun sudah ada beberapa tawaran dipersetujui. Jadi, saya tidak minta dinaikkan harga atau mula lupa diri.

"Saya tetap Isyariana sebelum ini, apatah lagi, perlu bertahan lama dalam industri," katanya yang bakal muncul dalam drama bersiri 65 episod, Hati Yang Dikhianati, bulan ini.

Hati Yang Dikhianati, naskhah adaptasi siri telenovela, Mis Tres Hermanas yang cukup popular pada 2000.

Bakal bergandingan dengan Amar Baharin, Isyariana berkata, dia akan membawakan watak Lisa Estrada atau Nur Melissa dalam siri adaptasi itu.

Bagaimanapun, katanya, watak Nur Melisa lebih kasar berbanding Lisa yang lemah lembut.

"Saya akui agak tertekan apabila diberi kepercayaan membawakan watak utama dalam drama yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.

"Paling ditakuti jika ada membandingkan watak Nur Melisa dengan Lisa. Walaupun drama Hati Yang Dikhianati hampir 80 peratus sama dengan cerita asal, tetapi watak kami sedikit berbeza.

"Karakter Lisa suka menangis dan sedih tetap ada, cuma Nur Melisa lebih kuat, tetapi tidaklah terlalu bersifat kewanitaan seperti Lisa," katanya.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Jodoh Isyariana belum tertulis

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×