Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Hael Husaini Sinaran industri hiburan

Tags: filem tahun nana

SELAMAT datang 2021. Semoga kehadiran Tahun baharu ini akan memberi kita semua kesejahteraan serta kehidupan lebih baik. Pelbagai kenangan 2020 biarkan berlalu.

Untuk industri hiburan tanah air, apa yang diharapkan semoga lebih bersinar dan menyerlah walaupun ketika ini segala aktiviti hiburan dan rutin kehidupan perlu dijalani secara norma baharu.

Justeru, bagi pencapaian 2021 yang mungkin lebih baik dan cemerlang, sisipan RAP memilih komposer dan penyanyi, Hael Husaini serta pelakon, penyanyi, Siti Nordiana bakal memastikan kejayaan mereka terus utuh.

Bagi Filem tempatan pula, pasti yang akan menarik perhatian penonton tahun ini agak banyak. Namun, empat filem iaitu Munafik 3, Polis Evo 3 serta dua karya animasi, Ejen Ali The Movie 2 dan Mechamato Movie dijangka mampu menarik

ramai penonton.

Hael Husaini terus menyerlah sebagai komposer

Bakat seni jejaka berusia 33 tahun ini tidak perlu disangkal lagi. Ditambah, namanya juga sudah menjadi sebutan ramai.

Ketika pandemik Covid-19 menular di negara ini tahun lalu, karya lagu ciptaan Hael cukup menyerlah dan menjadi pilihan pendengar.

Justeru, tidak hairan apabila tiga lagu ciptaannya iaitu Hati, Belenggu Rindu dan Peluang Kedua mara ke Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) yang berlangsung pada 7 Februari depan.

Kehebatan Hael dalam penciptaan lagu juga membuatkan ramai penyanyi lama dan baharu teringin menjalin kerjasama, tetapi permintaan yang banyak menyebabkan ada antaranya perlu menunggu giliran.

Pembabitan Hael dalam industri muzik sudah lama, cuma 'tuah' mula dinikmatinya selepas menyertai Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) secara duo dikenali AzHael dan dinobatkan naib juara.

Memilih bergerak solo sejak 2017 ternyata makin membawa rezeki buat Hael apabila popular dengan lagu Jampi ciptaannya. Ia juga muncul juara AJL32 pada 2018.

Pencapaian Hael diteruskan dengan menyanyi duet bersama penghibur Dayang Nurfaizah menerusi lagu Haram. Gandingan serasi mereka turut mencetuskan gosip cinta, namun yang pasti lagu Haram dinobatkan pemenang AJL33 pada

2019.

Sejak GV2, Siti Nordiana tak toleh ke belakang lagi

Nama Siti Nordiana Alias atau dikenali Nana, 36, sudah mekar dalam industri muzik tanah air sekitar penghujung 1990-an ketika berusia belasan tahun. Selain menyanyi solo, Nana juga popular dengan pasangan duetnya, Alllahyarham Achik Spin.

Bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga pada 2006 bersama bekas suami yang juga pelakon, Allahyarham Faizal Yusof, dia memilih memperlahankan kerjaya seni ketika itu hingga terus 'menyepi'.

Namun, penyertaan Nana dalam pertandingan Gegar Vaganza musim kedua (GV2) pada 2015 membawa sinar baharu dan peluang kedua buatnya memahat nama di hati peminat. Selepas dinobatkan juara GV2, Nana juga kembali berlakon dan popular dengan drama Dia Semanis Honey.

Kini selama lima tahun aktif semula, Nana sudah menempa pelbagai kejayaan terutama mengumpul banyak anugerah hasil undian peminat setia yang menyokongnya.

Kalau dulu, siapa Nana untuk naik ke pentas Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) untuk menerima trofi, sekarang boleh dikata setiap tahun kelihatan Nana hadir pada acara itu untuk menerima anugerahnya.

Tahun lalu, Nana merangkul tiga anugerah di ABPBH 33 menerusi kategori Artis Versatil Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular (duet Khai Bahar) dan Anugerah FC #Fantastik Popular (Siti Nordiana FC).

Kecemerlangan Nana diteruskannya dengan kemenangan kali kedua berturut-turut untuk Anugerah Top Top MeleTop Wanita di Anugerah MeleTop Era 2020 (AME 2020) pada 20 Disember lalu. Terdahulu, anugerah sama dimenangi Nana pada 2019.

Munafik 3 bakal 'box-office'

Bagi penggemar filem sentuhan pengarah berbakat, Syamsul Yusof pastinya sudah lama menunggu tayangan karya 'magisnya' iaitu Munafik 3 yang dijangka lebih mantap dan menarik.

Terdahulu Munafik 2 yang ditayangkan pada 2018 mencipta rekod apabila muncul sebagai filem tempatan paling laris sepanjang zaman dengan kutipan sebanyak RM37.8 juta.

Munafik 3 sepatutnya ditayangkan tahun lalu, tetapi ditunda akibat Covid-19 dan ia dijangka menemui penonton tahun ini.

Selain Syamsul sebagai bintang utama, Munafik 3 turut menampilkan lakonan Datuk Rahim Razali dan Datuk Fizz Fairuz.

Ejen Ali The Movie 2 bakal fenomena

Karya animasi buatan Malaysia ini juga bukan calang-calang. Ia sudah dibuktikan dengan kutipan pecah panggung luar jangka membabitkan beberapa filem animasi yang kini menjadi perhatian masyarakat.

Untuk tahun ini, filem animasi dijangka paling ditunggu-tunggu ialah Ejen Ali The Movie 2 terbitan WAU Animation. Terdahulu, Ejen Ali: The Movie yang ditayang pawagam pada November 2019 mencatat kutipan lebih RM30 juta, sekali gus mencipta rekod sebagai filem animasi tempatan paling laris.

Ternyatata, Ejen Ali yang mulanya ditayangkan secara bersiri di TV3 sangat menarik minat penonton terutama kanak-kanak. Hingga kini, siri animasi Ejen Ali juga dikenali di beberapa negara jiran termasuk bakal ditayangkan di China.

Mechamato Movie prekuel BoboiBoy

Satu lagi produk filem animasi tempatan yang bakal ditayangkan tahun ini adalah Mechamato Movie. Filem terbaharu ini hasil terbitan Animonsta Studio yang popular dengan siri animasi BoBoiBoy.

Mengikut laporan awal, animasi Mechamato Movie mulanya mahu ditayangkan di TV untuk pengenalan. Bagaimanapun, perancangan itu akhirnya diubah kepada tayangan di layar perak.

Mechamato dikatakan sebagai prekuel kepada siri BoBoiBoy yang mana paparan kisahnya terarah mengenai bapa BoBoiBoy pula. Ia sekali gus turut menjawab persoalan mengapa BoBoiBoy dijaga Tok Abah.

Polis Evo 3 kali ini terima sentuhan Syafiq Yusof

Filem ini turut jadi perhatian dan kali ini mendapat sentuhan pengarah muda berbakat, Syafiq Yusof.

Ia antara filem terbaik negara apabila dua filem terdahulunya, Polis Evo pada 2015 mencatat kutipan RM17.8 juta, manakala Polis Evo 2 (2018) meraih kutipan RM20 juta.

Bagi siri filem terbaharu ini menampilkan pelakon asal iaitu Shaheizy Sam, Zizan Razak, Nora Danish dan Eyka Farhana bersama beberapa muka baharu seperti Syafiq Kyle, Fauzi Nawawi, Farali Khan dan Elizabeth Tan.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Hael Husaini Sinaran industri hiburan

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×