Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Billy Zulkarnain belum berpecah





Tiada sengketa, jauh sekali penyanyi duo, Billy Zulkarnain berpecah dan berantakan. Biarpun perjalanan kerjaya mendaki rentak perlahan, namun mereka masih teguh bersama.

Tidak timbul soal salah seorang anggotanya, Billy bergerak solo kerana mahu meninggalkan kumpulan yang pernah popular menerusi lagu Hati Terluka itu. Sebaliknya, keputusan Billy menghasilkan single sekadar memenuhi minat dan menguji sejauh mana kemampuannya.

Sebelum membuat keputusan menghasilkan single Cinta, Billy atau nama sebenarnya, Sheikh Ahmad Rabily Sheikh Abdul Rahman terlebih dahulu mendapatkan 'lampu hijau' teman duetnya, Zulkarnain atau Nine.

"Kami tak pernah bergaduh, hubungan saya dan Nine tidak pernah bermasalah, cuma saya memilih bergerak secara solo untuk melihat sejauh mana kemampuan diri.

"Nine tak pernah menyekat keputusan saya, malah merestui hasrat mencuba nasib untuk bergerak solo. Kami sentiasa menyokong antara satu sama lain.

"Kami faham industri muzik ada turun dan naik. Ada kala kita cuba macam mana sekali pun, tetapi jika rezeki tak menyebelahi, jadi terpaksa akur menerimanya.

"Ini berlaku pada kumpulan Billy Zulkarnain apabila rezeki belum menyebelahi kami. Jadi, apa salahnya saya cuba nasib sebagai penyanyi solo. Siapa tahu mungkin nasib berpihak kepada saya," katanya.

Billy berkata, bergelar penyanyi solo bukanlah asing, malah tidak janggal bergerak sendiri. Sebelum menyertai kumpulan duo, Billy Zulkarnain dan Phyne Ballerz terlebih dahulu bergelar penyanyi solo.

Katanya, dia tidak mampu memberikan tumpuan kepada dunia nyanyian sepenuhnya berikutan terikat dengan tugasan hakiki sebagai pengurus kanan syarikat cari gali minyak.

"Saya bebas merencana hala tuju dalam industri muzik apabila bergerak secara solo. Saya tidak terikat dengan sesiapa, jadi boleh merancang apa sahaja yang dimahukan.

"Namun, sekiranya bersama kumpulan, mungkin saya akan menyusahkan ahli kumpulan lain sekiranya tidak boleh memberikan sepenuh komitmen kerana kerja hakiki menjadi keutamaan," katanya.

Mengulas single Cinta, Billy berkata, dia mendapat ilham menghasilkan lagu berkenaan ketika terkurung di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Idea lahir secara spontan.

Katanya, tidak mahu ilham terbiar sia-sia, ia menjadi titik tolak buatnya bergerak secara sendiri.

"Idea single Cinta lahir ketika tempoh PKP dan dicipta sepenuhnya oleh saya. Saya tidak mencari, sebaliknya ilham hadir dengan sendiri. Bukan nak kata bagus, tetapi saya cuba menghasilkannya dalam bentuk lagu.

"Ketika menulis lagu ini terfikir kenapa tidak memperkenalkannya kepada semua. Tetapi, saya berikan kepada pasukan untuk mendengarnya dan mereka menggalakkan saya menjadikannya sebagai single solo.

"Single Cinta bukanlah khusus untuk pasangan bercinta, tetapi boleh ditujukan kepada ibu bapa, pasangan dan anak-anak. Lagu ini lahir daripada jiwa saya. Apabila mendengar semula, ia mengingatkan saya kepada pengorbanan arwah bapa yang meninggal dunia pada 2012.

"Arwah saya sanggup bekerja keras semata-mata untuk memenuhi permintaan anak walaupun kami datang daripada keluarga sederhana," kata Billy yang bernaung di bawah syarikat miliknya, Trovato KL Entertainment dan bekerjasama dengan Indigital Music.

Single Cinta sudah dilancarkan secara rasmi melalui semua platform digital pada 28 Ogos lalu, manakala video muzik dimuat naik di saluran YouTube pada 3 September lalu.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Billy Zulkarnain belum berpecah

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×