Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Reen Rahim Tak masuk pawagam pun meletup!




MULANYA kecewa apabila filem komedi seram lakonannya, Syif Malam Raya yang sepatutnya ditayangkan di pawagam sempena Aidilfitri ditukar kepada perancangan lain.

Bagaimanapun, pelakon cantik, Reen Rahim, 31, kini mampu tersenyum apabila filem yang ditayangkan menerusi saluran Astro First itu mendapat sambutan hangat peminat.

Setakat ini, filem arahan Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen yang turut menampilkan Atu Zero, Sharif Zero, Yoe Parey, Syahmi Sazli, Asif Suhaimi dan Ropie ini sudah mencatat kutipan lebih RM3 juta selepas 10 hari tayangan.

Reen atau nama sebenarnyaNoreen Ashikin Abdul Rahim jelas teruja dengan apa yang dikecapi.

"Alhamdulillah, filem ini ternyata dapat menambat hati penonton. Sebenarnya agak sedih juga apabila mendapat berita ia tidak dapat ditayangkan di pawagam apabila ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bagaimanapun, penerbitnya, Ray Theme Sdn Bhd mengambil langkah bijak apabila mencari jalan lain pula.

"Berikutan filem ini bertemakan hari raya, penerbit terpaksa ambil keputusan menyiarkannya di platform lain dan tidak boleh menunda tarikh seperti filem lain," katanya.

Reen yang melangkah masuk dalam bidang seni selepas menjuarai pentas Pilih Kasih musim ketiga pada 2012, melakonkan watak Mira dalam filem ini.

"Antara faktor mengapa saya bersetuju berlakon adalah kerana pengarahnya Razak Mohaideen. Saya membesar dengan filem komedi beliau termasuk Anak Mami. Jadi saya tidak lepaskan peluang untuk terbabit dalam filem komedi arahannya. Sebelum ini saya pernah berlakon di bawah arahan Razak menerusi filem Soulmate Hingga Jannah tapi ia bukan komedi," katanya.

Reen yang sebelum ini berjaya memikat penonton dengan watak Kak Su menerusi siri Pujaan Hati Kanda mengakui perasaannya begitu teruja dapat berlakon dengan barisan 'otai'.

"Memang ramai pelakon komedi 'otai' yang terbabit. Malah, saya juga sangat tertarik dengan mesej berbentuk pengajaran dan nilai murni yang diterapkan dalam filem ini. Pada saya filem seperti ini agak jarang dihasilkan dan wajarlah peminat memberikan sokongan," katanya.

Ibarat satu bonus, peminat akan dapat terus menyaksikan kemunculan Reen dalam filem menerusi filem Town Mall dan Omerta pula selepas ini.

"Seperti Syif Malam Raya, saya juga mengharapkan sambutan hebat diberikan peminat untuk kedua-dua filem ini. Diikutkan saya sebenarnya sudah ada beberapa projek yang menanti selepas Aidilfitri.

"Bagaimanapun, saya tak dapat dedahkan lagi kerana semua projek ini terpaksa ditunda akibat PKP. Saya perlu tunggu dahulu untuk melihat keadaan semasa," katanya.

Walaupun sudah mempunyai kedudukan kukuh, Reen tidak cerewet memilih watak.

"Saya sebenarnya tak sasarkan jenis watak yang diberikan. Apabila diberikan tanggungjawab, saya pasti akan buat sebaik mungkin. Saya sentiasa belajar memperbaiki mutu lakonan agar penyampaian watak nampak lebih matang dan padu.

"Sebenarnya saya paling takut sekiranya berada di tahap selesa. Saya selalu elak untuk rasa bangga dan sentiasa anggap diri masih mentah dalam bidang ini dan masih belajar," katanya.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Reen Rahim Tak masuk pawagam pun meletup!

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×