Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

DJ Lin cari lelaki stabil kewangan




Lebih 10 tahun menyandang status sebagai ibu tunggal, penyampai radio yang sangat dikenali menerusi segmen Suria Cinta, DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abdul Majid, 43, bahagia dengan kehidupan solo tanpa kehadiran lelaki bernama suami.

Bagaimanapun, DJ Lin tetap bersedia untuk berkahwin sekali lagi andai bertemu lelaki yang mempunyai punca kewangan yang stabil.

Bukan bersifat materialstik, sebaliknya DJ Lin bertegas, kestabilan kewangan penting buat wanita zaman sekarang ditambah dengan tekanan ekonomi tidak menentu. Jadi, pilihan dalam soal jodoh demi masa depan harus ada jaminan. Selain memikul tanggungjawab sebagai penyampai radio, Pengurus Kanan merangkap Ketua Stesen Radio Suria FM itu mendedahkan, dia ingin melihat Suria FM berada di puncak. Justeru, selain pengisian dan segmen menarik, dia juga mempunyai perancangan untuk memperkenalkan segmen radio digital.

Sebagai penyampai merangkap orang kuat Suria FM, bagaimana DJ Lin melihat perkembangan radio berkenaan selepas hampir 13 tahun beroperasi?

DJ Lin: Alhamdulillah, radio ini semakin kukuh jenamanya. Dari segi jumlah pendengar, Suria memiliki sekitar 2.3 juta pendengar. Pasukan kami bekerja sangat kuat. Saya bukan bermaksud pasukan stesen radio lain tidak bekerja kuat, namun kami sangat berdikari. Kami tidak disokong mana-mana stesen televisyen. Jadi, kami berdiri sendiri. Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah untuk memajukan Suria FM dengan memberikan kualiti pengisian dan segmen yang terbaik buat pendengar.

Menyedari bahawa kuasa digital yang dominan kini, bagaimana anda melihat masa depan stesen radio secara amnya?

Memang tidak dapat nafikan bahawa media digital sangat kuat pengaruhnya, namun saya banyak menghadiri persidangan berkenaan kerelevanan stesen radio di luar negara. Kebanyakan mereka yang berada dalam bidang penyiaran radio bersetuju bahawa radio masih relevan. Biarpun banyak platform digital untuk mendengar lagu seperti Spotify dan sebagainya, radio mempunyai sentuhan tersendiri kepada orang ramai.

Sudah ada perancangan mengembangkan jenama Suria FM ke tahap digital?

Sekarang pun kami sedang perlahan-lahan ke arah itu (digital). Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, tahun 2020 Suria FM akan melahirkan sesuatu bersifat digital untuk memperkuatkan jenama kami. Perlu diakui bahawa media digital sangat kuat pengaruhnya. Kami di Suria FM juga tidak mahu ketinggalan menghasilkan sesuatu yang dekat dengan pengguna media digital zaman sekarang.

Terlalu sibuk dengan kerja, mungkin urusan tersebut membuatkan anda tiada masa untuk memikirkan hal jodoh. Apa komen anda?

Mungkin benar apa orang kata, jika ingin mencapai sesuatu, kita perlu korbankan sesuatu. Mungkin juga sebab itu saya masih belum mempunyai pengganti seorang suami sampai sekarang. Apa pun, saya okey dan bahagia dengan kehidupan. Biarpun tiada suami, saya ada anak-anak dan ibu yang memerlukan perhatian. Misalnya, ibu saya perlu mendapatkan rawatan dialisis yang memerlukan sekitar RM4,000 sebulan. Jadi, saya wajib selalu ada bersamanya untuk urusan tersebut.

Lelaki bagaimana yang anda mahukan untuk menjadi peneman hidup?

Dalam keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu, saya tidak malu mengatakan saya mahukan teman hidup yang stabil dari segi kewangan. Susah sebenarnya lelaki ingin dekati saya kerana saya memang sangat kuat bekerja. Saya bukannya orang senang, jadi tidak salah memilih calon untuk sehidup semati.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

DJ Lin cari lelaki stabil kewangan

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×