Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Tughrul Bey: Pengasas Kerajaan Islam yang tidak didendang- Tinta Ruhum



Biografi

Nama sebenar beliau ialah Muhammad Tughrul Bey bin Mikail bin Seljuk Bin Tuqaq. Dipanggil dengan gelaran Abu Talib. Beliau lahir pada tahun 990/993 Masihi bersamaan 379 Hijrah di bandar Oghuz, terletak di Kazakhtan. Beliau merupakan anak pertama dari dua orang adik-beradik dan mempunyai seorang saudara lelaki yang bernama Abu Sulaiman Daud Caghri Bey yang merupakan ayah kepada pemegang takhta Kerajaan Seljuk yang kedua iaitu Alp Arslan. Datuk beliau, Seljuk bin Tuqaq merupakan komander tentera pemerintahan Oghuz Yabgu.  Mereka berdua dibesarkan oleh datuk mereka sehingga beliau  berumur 15 tahun. Beliau bermazhab  Hanafi dan mendapat didikan awal dari datuknya. Tughrul Bey mempunyai 3 orang isteri di antaranya Altun Kan Hatun yang dikahwini beliau pada tahun 1043 Masihi, balu kepada Shah Malik AltunTash dan anak kepada Khalifah Abbasiyyah Sultan Al-Qaiim Bi Amrillah yang dikahwininya pada tahun 1062 Masihi.

Perjalanan Hidup

Oleh sebab berlaku beberapa permasalahan di Oghuz Yabgu, beliau dan adiknya beserta dua orang bapa saudaranya iaitu Musa Bey dan Arslan Israil Bey berhirah keluar dari bandar Oghuz menuju ke negara Asia Tengah. Apabila mereka sampai ke bukhara pada ketika itu dibawah kekuasan Empayar Samani  di Uzbekistan , Musa Bey membuat keputusan untuk menetap disitu.  Tughrul dan saudaranya meneruskan perjalanan sehingga sampai di Negeri Karakhanid yang pada masa kini meliputi daerah Samarkand di Uzbekistan, Kashgar di Jingxia China, Balasagun dan Uzgen yang berada di Kyrgyzstan. Beliau juga telah turut serta dalam perang Karakhanid. Pertama kalinya sewaktu  Karakhanid menentang Samani pada tahun 1026 Masihi dan membawa kemenangan kepada pihak Karakhanid. Beliau pada ketika itu berumur 17 tahun.  Di dalam perang tersebut, bapa saudaranya iaitu Musa Bey telah turut serta menentang kerajaan Kharakhanid. Akibat dari kekalahan itu, Musa Bey telah ditawan dan dipenjarakan oleh Kerajaan Kharakanid.  Selain perang tersebut, beliau juga terlibat dengan perang Karakhanid menentang Ghaznavid pada tahun 1032 yang dikenali sebagai perang Dabussiya. Perang ini berlaku di Bandar Dabussiya yang terletak di antara Bukhara dan Samarkand.  Perang ini diketuai oleh Shah Malik Altuntash, seorang komander perang dari pihak Ghaznavid dan pihak Kharakanid diterajui oleh  Ali Tegin Bukhra Khan dan dibantu oleh pihak Seljuk. Peperangan ini dimenangi oleh pihak Ghaznavid namun Shah Malik Altuntash telah mengalami kecederaan yang membawa kepada kematian beliau.

Setelah kematian Ali Tegin Bukhra Khan, Tughrul berhijrah ke Khawarzm dan taat setia di bawah pemerintahan Harun ibn Altuntash, Gabenor di Khawarzm jajahan Ghaznavid. Setelah berlaku pertempuran di antara Harun dan pemerintahan Ghanavid yang mengakibatkan perang dan berakhir dengan kematian Harun, Tughrul Bey meminta perlinduang suaka dari Amri As-Shahid Sultan Mas'ud I pemerintah Ghanavid pada ketika itu bertitik tolak dengan  bapa saudaranya Arslan Israil yang mendapat perlindungan suaka. Namun apa yang berlaku, Sultan Mas’ud bertindak menghantar tenteranya di bawah kelolaan  Begtoghdi, komander tentera di Khurasan untuk menyerang Tughrul Bey. Peperangan ini telah berlaku di Tabaristan. Peperangan tersebut berakhir dengan kemenangan di pihak Seljuk. Kesinambungan dari kemenangan dalam peperangan ini, Tughrul Bey meluaskan siri penaklukannya  sehingga beliau dapat menakluki daerah Balkh, Jurjan, Tabaristan, Khawarizm, Rai dan Isfahan.

Membina Kerajaan Seljuk

Pada Tahun 1037M, Tughrul Bey telah membina kerajaan Seljuk yang bertempat di Khurasan.  Setelah berjaya menaikkan nama Seljuk menjadi sebuah kerajaan yang dihormati dan disegani, beliau meneruskan lagi perjuangan beliau dengan menjatuhkan kerajaan Buwehi di Iran dan Iraq yang pada ketika itu berada di bawah pengaruh kerajaan Abidi Fatimiah di Mesir. Serangan kerajaan Seljuk terhadap kerajaan Buwehi berakhir pada tahun 1055M dengan kejayaan beliau menjatuhkan kerajaan  Buwehi di Baghdad. Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Buwehi, Tughrul Bey dijemput oleh Khalifah Al-Qaiaim bi Amrillah iaitu Khalifah kerajaan Abbasiyyah untuk bertemu dengan baginda. Baginda telah menganugerahkan kepada beliau anugerah kebesaran gelaran Sultan Rukhnuddin Tughrul Bey dan baginda sendiri menyarungkan persalinan kebesaran kepada Tughrul Bey. Selain itu, Khalifah memberikan tempat bersebelahan baginda kepada Tughrul Bey yang membawa maksud beliau dinaikkan menjadi raja kepada pemerintahan Seljuk secara rasmi serta diberikan kehormatan dengan namanya diukir pada matawang dan nama beliau disebut di dalam doa khutbah di semua masjid Baghdad dan luar Baghdad. Setelah itu, Tughrul Bey menjadikan Buwehi sebagai tempat pemerintahannya dan urusan di Baghdad.

Wafat

Diwaktu pemerintahan beliau berada di puncak kejayaan, Tughrul meninggal dunia pada 8 Ramadhan 455 Hijrah bersamaan dengan 1063 Masihi di Ray, Iran. Umur beliau pada ketika itu mencecah 70 tahun. Sepanjang hayatnya, beliau berjaya membawa kemenangan untuk kerajaan Seljuk di Wilayah Khurasan, Iran serta di kawasan timur dan utara Iraq.

Dikarang pada 15/1/2018

Rujukan: 6


This post first appeared on Tinta Ruhum, please read the originial post: here

Share the post

Tughrul Bey: Pengasas Kerajaan Islam yang tidak didendang- Tinta Ruhum

×

Subscribe to Tinta Ruhum

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×