Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Aib jika sengaja disebar, adakah berdosa orang yang mengherdik?- Tinta Ruhum

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w.b.t





Alhamdulillah masih bernafas hari ini. Diberikan nikmat iman dan Islam. 

Sejak akhir-akhir ini, begitu banyak gejala menyebarkan aib yang berlaku dalam masyarakat. Viral menjadi makanan dan santapan bagi masyarakat. Mudahnya bagi sang perakam merakam aksi yang memalukan kawannya, keluarganya dan Orang ramai untuk meraih sedikit perhatian atas apa yang berlaku. Bertambah buruk lagi, ada segelintir manusia sudah mula menyebarkan aib sendiri di laman sosial tidak kira dari segi apa tetapi berdasarkan fakta, ia berlaku. Yang menjadi permasalahannya ialah apabila disebarkan aib sendiri pasti akan mendapat penghinaan. Menjadi lumrah di dunia, kita buruk orang kutuk, kita baik orang perli dan kita jahat orang maki. Itu memang menjadi lumrah kepada manusia untuk bersifat berlawanan dengan apa yang sedia ada. Namun, jika kita yang menyebarkannya sendiri dan orang ramai mengutuk kita, adakah berdosa orang itu? Ha itu soalannya.

Perkara pertama yang perlu dilihat adalah aib. Aib menurut bahasa bermaksud mengaibkan menjatuhkan maruah seseorang; mendatangkan aib, memalukan, cela, noda. Aib ini mempunyai dua kategori:

1. Aib yang bersifat kekal dan bukan perbuatan maksiat. 

a) Contohnya: Cacat tubuh badan dan penyakit yang menyumbang kepada aib/ malu.

2. Aib dalam bentuk maksiat samada sembunyi atau terang.

a)  Aib Terang. Contohnya: Menyebarkan hal rumah tangga kepada orang dan memberitahu keburukan diri.

b)  Aib Sembunyi. Terbahagi kepada dua iaitu aib yang bersangkutan dosanya dengan Allah dan aib yang bersangkutan dosanya dengan Allah dan manusia.

Jadi apakah pandangan Islam dalam hal ini?  Penulis akan bawakan beberapa dalil untuk sama-sama kita hadamkan. 

Firman Allah:


Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

(Surah Al-Hujurat: 49: 11)




Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah Al-Hujurat: 49: 12)

Bertepatan dengan larangan diatas yang melarang kita mencari aib orang untuk disebarkan dan tidak memanggil dengan gelaran yang buruk. Harus diingatkan bahawa sekiranya ayat tersebut dimulakan dengan "Wahai orang-orang beriman" bermaksud amaran itu khusus kepada orang Islam dan perbuatan itu sangat dilarang sama sekali sehingga sesiapa yang membuatnya boleh dikira sabagai fasiq.

Jadi bagaimana pula dengan yang menyebarkan aib sendiri? ha jangan ingat boleh main-main cakap je orang hina kita dan menghina ciptaan Allah sekiranya kita sendiri cari makian/ kutukan/ cacian dengan menyebarkan aib kita sendiri? Renungkan sejenak apa yang dikatakan:

Hadis Nabi:

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ ابْنِ أَخِي ابْنِ شِهَابٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya:

Telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Abdullah telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Sa'd dari Ibnu Akhi Ibnu Syihab dari Ibnu Syihab dari Salim bin Abdullah dia berkata; saya mendengar Abu Hurairah berkata; saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali orang-orang menampakkannya dan sesungguhnya diantaranya adalah seorang hamba yang melakukan dosa di waktu malam sementara Allah telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: 'Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, ' padahal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah'."

( Hadis Riwayat Imam Bukhari ( No Hadis 5608) dan Imam Muslim (No Hadis 5306) )

Kesimpulannya, insan yang mengherdik sememangnya berdosa tetapi dosa orang yang menyebarkan aib itu juga lebih besar kerana sengaja membawa diri kepada cacian dan makian dari orang ramai terhadap dirinya.

Nota: 

Akaun Facebook, Twitter dan Instagram memang milik kita tapi ia hanya pinjaman dari 'founder'. Kita kena sedar bahawa alam maya bukan tempat untuk kita menyebarkan kegilaan kita semata-mata kerana zaman sudah maju dan menjadi kebiasaan untuk orang memiliki akaun di alam maya. Jadi, ungkapan " akaun aku hak aku, tak suka jangan tengok" tidak boleh diguna pakai sebenarnya jika kita adalah orang yang berfikir. Jagalah pinjaman Allah dengan sebaik-baiknya insyaAllah kita sama-sama menuju akan redha dan rahmat-Nya.

Sama-sama jaga, sama-sama masuk syurga.

-Pandangan ini hanya dari zat, jasad, akal, roh penulis-

Ikhlas,

Ruhum.



This post first appeared on Tinta Ruhum, please read the originial post: here

Share the post

Aib jika sengaja disebar, adakah berdosa orang yang mengherdik?- Tinta Ruhum

×

Subscribe to Tinta Ruhum

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×