Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Soal Jawab Kemuskilan Agama #2 Hukum Duduk Semeja Dengan Pemimum Arak

Soal Jawab Agama Siri#2 (Menggunakan Tangkal, Ciri-ciri Wanita Solehah, Puasa 6 Bulan Syawal Boleh kah di Gabung Dengan Puasa Qada, Hukum Pertandingan Memancing dan Hukum Duduk Semeja Dengan Pemimum Arak)

Soalan Pertama : Apakah hukum menggunakan tangkal-tangkal yang mengandungi ayat-ayat al-Quran?
Jawapan :
Kita tak perlu takut kepaad jin-jin kafir dan syaitan kerana Mereka tak kuat yang Maha Kuat dan Maha Hebat hanyalah Allah SWT. Jika kita rasa takut kepada jin maka jin akan bertambah sombong dan ego dan akan datang menguasai diri kita. Wafaq (tangkal) adalah dilarang oleh Islam dan percaya kepaad tangkal adalah syirik.. Ulama membincangkan bagaimana jika tangkal itu tertulis ayat al-Quran? Apa hukumnya? Adakah ia juga membawa kepada kesyirikan?
Pendapat yang rajih (kuat) adalah ia hendaklah dijauhi. Jangan sama sekali menggunakan tangkal walaupun ia mengandungi ayat al-Quran yang ditulis dengan betul dan sempurna.
Adapun tangkal yang mengandungi ayat Atau huruf yang terputus-putus seperti mana yang ada pada kebanyakan tangkal, itu bukan ayat al-Quran, bahkan menghina ayat al-Quran.
Jadi dalam permasalahan menggunakan tanggal yang mengandungi ayat al-Quran yang betul, ulama mengatakan ia hendaklah dijauhi.
Sebab pertama adalah kerana Rasulullah SAW tidak pernah mengajar umatnya untuk melakukan sedemikian.
Sebab kedua, kerana berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jampi serapah, tangkal-tangkal, dan tiwalah (jampi untuk mendekatkan hubungan suami isteri) itu termasuk perbuatan syirik.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, dan Al-Hakim) Rasulullah SAW mengatakan semua itu termasuk perbuatan menyekutukan ALLAH.
Ulama menyimpulkan tidak kira apa juga bentuk tangkal, walaupun tertulis padanya ayat al-Quran atau hadis Nabi Muhammad SAW, ia termasuk dalam keumuman hadis Baginda SAW, ia termasuk amalan syirik.
Ini kerana apa yang pasti, ia boleh membawa kepada menyekutukan ALLAH.
Apabila wujud kepercayaan kain itu ada kuasa, jelas dia percaya kepada kuasa selain daripada kuasa ALLAH, dan dia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kuasa ALLAH. Kepercayaannya sudah lari, dan ia membawa kepada syirik.
Bagaimana pula jika tangkal itu bukan daripada ayat al-Quran? Kalau tangkal ayat al-Quran pun perlu dijauhi, maka apatah lagi benda dan tulisan khurafat yang kita sendiri tidak faham maksudnya.
Jelas ia membawa kepada kesyirikan kalau sudah ada kepercayaan.
Maka perbuatan memakai tangkal tanpa ada kepercayaan adalah perbuatan syirik kecil yang pelakunya tidak semestinya terkeluar daripada agama.
Bagaimanapun, jika perbuatan itu disertai dengan kepercayaan, sudah pasti itu adalah syirik besar.
Pelakunya terkeluar daripada Islam dan terhapus semua amal soleh yang pernah dikerjakannya, pelakunya kekal dalam neraka jika tidak bertaubat.
Kita memohon perlindungan ALLAH daripada gangguan dan godaan jin dan syaitan.
Soalan Kedua : Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada wanita sehingga boleh melayakkan diri mereka menjadi wanita solehah?
Jawapan :
Terdapat sembilan keistimewaan wanita solehah yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita yang lain. Dengan menghayati sembilan perkara wanita solehah akan memiliki kecantikan yang sebenar.
Pertama : Menundukkan pandangan (ghadhdul bashar) kepada yang bukan mahramnya, nescaya hati dan jiwa akan semakin bening dan jernih.
Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya" (Surah an-Nur ayat 30-31)
Kedua : Sentiasa bersikap jujur, nescaya akan menjadi semakin manis.
Daripada Abdullah bin Masud r.a. katanya sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesungguhnya kejujuran mengantarkan kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan kepada syurga. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku jujur hingga ia disebut siddiq (orang yang senantiasa jujur). Sedang dusta mengantarkan kepada perilaku menyimpang (zalim) dari perilaku menyimpang mengantarkan kepada neraka. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku dusta hingga ia disebut pendusta besar." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi).
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, yang maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan bersamalah kamu dengan orang-orang yang benar (jujur)" (Surah At-Taubah ayat 119).
Dalam ayat lain, Allah S.W.T. berfirman, yang maksudnya: “Jikalau mereka jujur kepada Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka” (Surah Muhammad ayat 21)
Ketiga : Rasa malu yang lahir daripada Iman.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sifat malu adalah sifat yang terpuji. Dengan memiliki sifat ini seseorang wanita solehah akan terlepas daripada segala kejahatan kerana adanya sifat ini akan terhindarlah segala keburukan. Dengan sifat malu juga akan meningkatkan darjat keimanannya.
Sayyidina Ali bin Abi Thalib berkata : “Orang yang menjadikan sifat malu sebagai pakaiannya, nescaya orang-orang tidak akan melihat aib dan cela pada dirinya.”
Keempat : Sentiasa beristighfar yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang di lakukan.
Istighfar merupakan syiar para nabi dan rasul, tidak ada seorang Nabipun yang tidak beristighfar dan selalu mengajak umatnya untuk beristighfar. Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa beristighfar atas dosa yang telah mereka perbuat sepertimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Araf ayat 23 maksudnya :" Keduanya berkata "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi".
Sabda Nabi SAW maksudnya : "Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan" (Hadis Riwayat Al Hakim)
Kelima : Sentiasa menjaga kehormatan diri dan menutup aurat.
Wanita solehah dalam perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. " (Hadis Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Firman Allah SWT maksudnya :"...Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung". (Surah An.Nur ayat 31)
Keenam : Sentiasa bersifat tawaduk dan membina rasa ukhwah.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : "(Mereka) keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka..." (Surah al-Fath ayat 29)
Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyuruh Nabi-Nya dengan firman-Nya yang bermaksud : "dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman." (Surah Asy-Syu'ara ayat 215)
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Maukah kamu aku tunjukkan akhlak yang paling mulia di dunia dan di akhirat? Memberi maaf orang yang menzalimimu, memberi orang yang menghalangimu dan menyambung silaturrahim orang yang memutuskanmu”
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Maukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” Sahabat menjawab, “Tentu saja!” Rasulullah kemudian menjelaskan, “Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menyambungkan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ketujuh : Mengelakkan fitnah untuk menjaga kesucian diri .
Dari Abu Malih Al- Hudzli : Kaum perempuan kota Himsh atau penduduk Syam menemui Aisyah. lalu Aisyah berkata " Kamu adalah kaum perempuan yang masuk ke kamar mandi. padahal, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang meletakkan pakaiannya bukan di rumah suaminya, Allah akan membuka aibnya"
( Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Hakim )
Abu Hurairah r.a pun menyebutkan, ketika turun ayat al- Mula'anah ( tentang suami-isteri yang saling melaknat kerana tuduhan perbuatan serong ) Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Siapapun perempuan yang menemui suatu kaum yang bukan kerabatnya, ia akan tidak memperoleh apapun dari Allah SWT dan Dia tidak akan memasukkannya ke syurga "
Dari Aisyah ra berkata : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki beberapa kelebihan. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita lain yang lebih baik daripada wanita kaum Anshar dalam hal keimanannya terhadap kitabullah dan apa-apa yang diturunkan-Nya. Ketika turun surat An-Nur, pada potongan ayat (yang artinya) : Dan hendaknya mereka memakai tudung sampai menutupi dada mereka. Maka saat itu pula para suami membacakan kepada anak-anak perempuan, saudara-saudara perempuan dan kerabat-kerabatnya setelah dibacakan, maka tidak ada satu wanita pun kecuali mereka memakai tudung (jilbab) lalu mereka melipatkannya di atas kepala mereka. Hal itu dilakukan kerana kepercayaan dan keimanan mereka terhadap apa yang telah diturunkan Allah dalam kitab-Nya. Kemudian tatkala mereka berada di belakang Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam , mereka terlihat sudah mengenakan jilbab. Seolah-olah di atas kepala mereka ada seekor burung ghirban.”
Hadis di atas menunjukkan contoh perempuan yang tidak menjaga diri daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah yang akan menjerumuskan pada fitnah yang lebih besar. Semoga semua para wanita senantiasa menjaga kesucian diri mereka dan elakkanlah segala bentuk fitnah yang mungkin boleh berlaku tanpa disedarinya.
Fitnah dizaman morden ini adalah berhati-hati di dalam perhubungan dengan lelaki yang bukan mahram di alam maya samaada melalui facebook atau blog atau hubungan telifon bimbit dan mengelakkan meletakkan gambar-gambar peribadi yang mungkin boleh disalah gunakan oleh mereka yang telah rosak akhlaknya.
Kelapan : Sentiasa berwuduk nescaya akan bercahaya wajahnya di hari akhirat.
Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Umatku akan tampil pada hari kiamat dengan wajah bersinar tangan serta kakinya berkilauan dari bekas-bekas wuduk."
Kesembilan : Sentiasa menimba ilmu yang bermanfaat
Nabi SAW bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)
Wanita solehah mengharapkan balasan syurga daripada Allah SWT sebagai ganjaran paling tertinggi dan paling dikehendakinya. Maka wanita solehah akan sentiasa belajar dan menuntut ilmu yang bermanfaat samaada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kerana sesiapa yang menutut ilmu akan dinaungi dan didampingi oleh para malaikat dan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Malah kelebihan belajar ini diperkukuh dengan hadis riwayat Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah, Nabi SAW bersabda maksudnya, “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari sembahyang (sunat) seratus rakaat”.
Soalan Ketiga : Ustaz saya nak tanya berkenaan dengan puasa sunah 6 hari bulan Syawal saya baru dengar bahawa puasa 6 hari Syawal bagi wanita boleh di campur dengan puasa qada hutang Ramadan yakni bila seorang wanita mengqada puasa Ramadannya?
Jawapan :
Dalam bulan Syahwal di sunatkan puasa 6 hari di bulan Syawal. Soalannya adakah wanita yang ada qada puasa Ramadan perlu menghabiskan qada puasa dulu baru puasa 6 Syawal atau boleh puasa 6 Syawal dan baru qada?.
Terdapat khilaf di dalam persoalan ini.
Pendapat pertama mengatakan wanita wajib puasa qada dulu baru puasa 6 Syawal untuk mendapat puasa sepanjang tahun sebagaimana hadis Nabi SAW.
Pendapat kedua mengatakan boleh wanita puasa Syawal dulu kerana puasa sunat bulan Syawal hanya boleh dilakukan di bulan Syawal saja sedangkan puasa qada boleh dilakukan bila-bila masa selepas Ramadan sepanjang tahun sehingga masuk bulan Syaaban tahun hadapannya.kerana hadis daripada Aisyah mengatakan beliau biasa akan qada puasa di bulan Syaaban.
Satu perkara yang perlu di ambil perhatian tak boleh niat puasa qada bersama niat puasa sunat 6 Syawal kerana puasa sunat tak boleh bergabung dengan puasa wajib. Ulama berpendapat bahawa jika niat dua dalam satu maka kedua-dua puasa tersebut tak sah.
Soalan Keempat : Apa hukum penganjuran memancing oleh pihak yang mengenakan bayara .berupa duit.? Boleh diklafikasikan judi ke ke macamana ni ustaz..?
Jawapan :
Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah dari pengajur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana? Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya haram. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini. Pertamanya kerana menyertai pertaruhan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.
Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: "Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman". (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).
Maisir atau perjudian telah diharamkan dengan nas yang qatie. Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90)
Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).
Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya).
Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.
Dalam pertandingan memancing atau sebagainya, ada unsur pertaruhan atau jika membabitkan hadiah atau pemberian. Walaubagaimanapun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak.
Justeru, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:
1. Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).
2. Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya: "Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku."
Maksudnya penganjur pertandingan memancing menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan.
Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan. Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.
Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:
1. Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
2. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
3. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
4. Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
5. Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram. (Ahkam al-Musabaqat Fi asy-Syari'ah al-Islamiyyah, Abdus-Somat bin Muhammad Balhaji, Dar an-Nafais, Jordan 2004)
Soalan Kelima : Ustad..saya ada seorang kawan lelaki yang suka minum arak. apa hukum jika duduk semeja dengan dia tapi kita tak minum ?
Jawapan :
Daripada Jaabir secara marfuu’:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka janganlah ia duduk di suatu hidangan yang ada dihidangkan arak”
Kata Ibn Hajar: Isnaadnya jaiyid (Fathul Baari: Kitaab An-Nikaah Bab: Adakah wajar ia pulang tidak duduk dalam majlis yang dilihatnya ada kemungkaran..) Dihukumkan sahih oleh Al-Haakim dan disetujui oleh Adz-Dzahabi.
Hadis ini dikeluarkan juga oleh An-Nasaa-i, At-Tirmidzi, Abu Dawud, Ahmad, Ad-Daarimiy dan lainnya. Dihukumkan sahih oleh Al-Albaaniy (Al-Irwaa: 6/7 no: 1949)
Jelas hadits ini mengharamkan duduk semeja dimana minuman keras diedarkan. Tidak dibezakan siapa peminumnya, muslim atau kafir, tidak juga dibezakan apakah acaranya.
Apa kata pensyarah hadits :

(( فلا يجلس على مائدة يدار عليها الخمر)) يعني وإن لم يشرب معهم كأنه تقرير على منكر ( تحفة الأحوذي بشرح جامع الترمذي 8/69 )

“Maka janganlah ia duduk di suatu hidangan yang ada dihidangkan arak” yakni walaupun dirinya sendiri tidak meminumnya bersama mereka sebab ia seolah-olah setuju dengan sesuatu yang mungkar (Tuhfatul Ahwadzi syarah Jaami’ Tirmidzi: 8/69)
Apa kata fuqaha :
Di Raudhah Tolibin 7/334-355 Imam Nawawy rahimahullah menyebutkan antara syarat2 wajib menyahut jemputan walimah :

ومنها أن لا يكون هناك منكر كشرب الخمر والملاهي . فان كان هناك منكر نظر: إن

Di antaranya: Tidak boleh ada di dalamnya suatu kemungkaran seperti peminuman arak dan perkara-perkara yang melekakan atau melalaikan (hiburan). Jika ada sesuatu kemungkaran maka hendaklah ia membuat penilaian:

كان الشخص ممن إذا حضر رفع المنكر فليحضر إجابة للدعوة وإزالة للمنكر وإلا فوجهان :

Jika ia seorang yang bilamana ia hadir di dalamnya akan terhenti kemungkaran maka ia hadiri majlis tersebut demi menyahut undangan dan untuk ia melenyapkan kemungkaran tersebut, jika tidak demikian, maka ada dua pandangan:

أحدهما: الاولى أن لا يحضر, ويجوز أن يحضر ولا يستمع وينكر بقلبه, كما لو كان

يضرب المنكر في جواره فلا يلزمه التحول وإن لغه الصوت وعلى هذا جرى العراقيون .

Pertama: yang utama Ia tidak menghadirinya, harus pula baginya untuk hadir sedang ia tidak mendengarkan kemungkaran tersebut dan ia mengingkarinya (merubah kemungkaran) dengan hatinya sebagaimana kalau kemungkaran itu berlaku di sekitaran/kejiranannya, maka ia tidak dimestikan untuk berpindah walaupun ia mendengar bunyi kemungkaran tersebut. Ini adalah pandangan Golongan ‘Iraaqiyuun, (Fuqahaa Iraq).

والثاني: وهو الصحيح, يحرم الحضور لانه كالرضى بالمنكر وإقراره.

Kedua: yang sahih/tepat: Haram ke atasnya untuk menghadirinya sebab ia seperti redha dengan kemungkaran dan menyetujuinya.

قلت: الوجه الاول غلط ولا يثبت عن كل العراقيين وإنما قاله بعضهم وهو خطأ, ولا يغتر بجلالة صاحب التنبيه ونحوه ممن ذكره, والله أعلم. فاذا قلنا بالثاني فلم يعلم حتى حضر نهاهم فان لم ينتهوا فليخرج . وفي جواز القعود وجهان: قلت: أصحهما التحريم والله أعلم. فإن لم يمكنه الخروج بأن كان في الليل ويخاف من الخروج قعد كارها ولا يستمع.

Ulasan ku (An-Nawawi): Pandangan yang pertama adalah pandangan yang keliru dan ia tidak tsabit dari semua Ahli Fiqh Iraq, malah sebenarnya hanya sebahgian dari kalangan mereka yang berpendapat demikian dan ia adalah pendapat yang silap dan usahlah dihiraukan tentang kedudukan tinggi orang yang menyatakan demikian atau yang seumpamanya dari kalangan mereka yang telah menyebutkannya, Wallahu a’lam. Jika kita mengambil pendapat yang kedua dan ia tidak tahu adanya kemungkaran tersebut kecuali sehinggalah ia menghadirinya, hendaklah ia menegah mereka dan jika mereka tidak memberhentikan kemungkaran itu maka hendaklah ia keluar (meninggalkan majlis tersebut). Manakala persoalan “Haruskah ia duduk terus?” Maka ada 2 pandangan juga.
Menurut pendapatku: Yang lebih tepat ialah Haram (ia duduk terus) Wallahu a’lam. Jika tiada kemampuannya untuk keluar dari majlis itu, contohnya kerana telah larut malam (perjalanan pulang merbahaya yang memudaratkan nyawanya) dan ia takut untuk keluar maka ia duduk sedang ia terpaksa dan membencinya serta tidak mendengarkannya (kemungkaran tersebut)

Teks Disediakan Oleh Saudari Makmum
Susunan Teks Nursyarifah


This post first appeared on Islam Syariah Info, please read the originial post: here

Share the post

Soal Jawab Kemuskilan Agama #2 Hukum Duduk Semeja Dengan Pemimum Arak

×

Subscribe to Islam Syariah Info

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×