Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

#RENCANA ~ Kenapa masjid simpan banyak duit tapi tak dimenafaatkan?

Oleh: Farush Khan

HAMPIR semua Masjid dan surau menyimpan wang di bank, tapi itu tidak pernah dipersoalkan kerana kalau tidak di bank, di mana lagi?

Simpan dalam tabung salah-salah dikebas penyangak.

Tetapi yang ramai orang marah adalah apabila masjid dan surau suka bekukan wang dalam simpanan tetap di bank tahun demi tahun tanpa mahu membelanjakannya untuk manfaat ummah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Husin dilaporkan berkata, kajian pada 2012 mendapati RM7.8 juta hasil simpanan bank milik 668 masjid di seluruh negeri itu tidak digunakan.

Menurutnya, keadaan itu berkemungkinan berlaku akibat salah faham dan kekeliruan dalam kalangan jawatankuasa masjid dalam pengurusan kewangan.

Katanya, ada yang menyangka, wang derma itu untuk kegunaan urusan imarah masjid sahaja seperti bayaran kepada penceramah, bil elektrik dan air, sedangkan ia boleh digunakan untuk perkara lain.

Jika ia melibatkan RM2,000 hingga RM3,000 sahaja tidak mengapa, tetapi kalau sudah terlalu banyak, rasanya sudah melencung daripada konsep sebenar.

Mari kita renung sejenak. Sebanyak RM8 juta yang disebut itu melibatkan simpanan tetap 668 masjid di Perak sahaja.

Bayangkan berapa ribu masjid yang ada di 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan di Malaysia!

Itu belum lagi ambil kira beribu-ribu surau di seluruh negara.

Dalam cetusan yang lalu, saya sendiri sudah memberi cadangan mengenai penggunaan wang masjid, termasuk menyediakan kedai-kedai di sekitar masjid untuk anak-anak muda berniaga.

Tetapi kali ini saya ingin beri peluang kepada rakan-rakan yang meluahkan pandangan selepas Sinar Harian melaporkan berita bertajuk ‘RM8 juta wang masjid beku’ baru-baru ini.

Seorang rakan lama yang bergelar Tan Sri mencadangkan masjid sediakan bajet untuk biro dakwah, biro pembangunan, biro remaja, biro kebajikan, biro Muslimah dan sebagainya.

Katanya, baki 10 hingga 20 peratus dibawa ke akaun tahun hadapan, 5 peratus digunakan untuk kebajikan anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin dan lain-lain.

“Pendek kata, wang masjid perlu dibelanjakan untuk semarakkan syiar Islam,” kata rakan saya itu.

Seorang rakan penulis berkata, pengurusan masjid harus lebih proaktif, merangka strategi dan perancangan, termasuk mengurus perbelanjaan secara efektif.

“Pendedahan ini menunjukkan kemandulan pengurusan masjid mengurus tadbir secara profesional dan telus,” katanya.

Zainal, seorang eksekutif pula berpendapat, simpanan RM8 juta oleh 668 masjid itu tidak banyak.

“Secara purata setiap masjid simpan RM10,000 hingga RM11,000 sahaja dalam bank.

"Ini tidak keterlaluan kerana tidak wajar bagi mereka habiskan wang yang dikumpulkan,” katanya.

Katanya, bil elektrik surau di tempatnya di KL sahaja mencecah RM2,000 sebulan. Itu baru surau dan belum kira belanja lain.

Mohd Shah, pendaftar sebuah kolej agak berfalsafah.

“Belanja untuk rumah ALLAH jangan takut habis. Insya-ALLAH berkat dan bertambah... seperti air yang mengalir, segar dan menyegarkan,” katanya.

Ahmad pula mengheret sekali pihak berkaitan pungutan zakat.

“Masing-masing bergerak seperti pihak pungut hasil. Hebat memungut, tapi lekit dan terlalu berkira serta ambil masa lama apabila buat agihan,” katanya.

Kawan saya, Fazil, macam marah sahaja kepada pihak pengurusan surau di kawasannya.

“Ada duit jariah, masuk dalam akaun simpanan tetap. Bila nak buat tambahan bangunan atau nak beli barang-barang, minta sumbangan orang ramai. Duit surau yang ada dalam simpanan sikit pun tak nak usik,” dia menyungut.

Fazil mencadangkan supaya sikap pihak pengurusan yang suka membekukan wang terus dibongkar supaya masyarakat tahu dan pihak berkuasa bertindak sewajarnya.

Nordin pula mahu masjid mengikut konsep sebenar derma dan sedekah.

“Orang bagi sumbangan supaya diagihkan kepada orang yang memerlukannya. Barulah pahala itu terus mengalir. Pihak pengurusan masjid tak bolehlah jadi mata duitan.

“Agama larang umat kumpul harta untuk menghitungnya sa-haja. Duit yang diterima mesti dikumbahkan, jangan simpan lama-lama,” katanya.

Secara sinis, Nordin berkata; “Janganlah biar pahala berhenti dalam tong derma. sahaja.”

Dr Hashim, seorang bekas pengarah sebuah jabatan, sarankan duit derma digunakan untuk orang miskin dan yang memerlukan.

“Bagilah makanan atau bantu baiki rumah mereka," katanya.

Saya sendiri teringin nak tanya apakah tidak ada kes wang masjid dan surau disalah gunakan.

Kalau ada yang pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan pencegah rasuah, apakah tindakan yang sudah diambil?

Barangkali ada baiknya jika maklumat mengenai kesalahan dan tindakan begini sampai kepada umum supaya sebarang usaha yang untuk menyelewengkan duit masjid dan surau boleh dielak dan sesiapa sahaja yang ada memasang niat hendak salah guna wang masjid dan surau rasa gerun sedikit.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner


This post first appeared on Blog Sensasi, please read the originial post: here

Share the post

#RENCANA ~ Kenapa masjid simpan banyak duit tapi tak dimenafaatkan?

×

Subscribe to Blog Sensasi

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×