Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

#AMPHICOACH ~ Dua alam, jangan jadi tiga alam...


Oleh:Abd Jalil Ali

WALAUPUN pantai timur dilanda banjir, berkereta ke Kuala Terengganu dua minggu lalu tidak terganggu sedikit pun. LPT2 dari KL ke destinasi, tidak dihalang air.

Radio mengumumkan dari semasa ke semasa beberapa kawasan di Pahang, Terengganu dan Kelantan semakin dinaiki air dengan beribu-ribu mangsa sudah berada di pusat pemindahan.

Bimbang juga jika serangan kedua banjir memutuskan hubungan utama ke pantai timur. Terbayang kesulitan sekiranya air melimpah dan laluan LPT2 ditutup. Kena tidur dalam kenderaan!

Maka teringat saya kepada ‘amphicoach’, kenderaan yang dibeli oleh Kerajaan Negeri Terengganu, dan diuar-uarkan sebagai paling sesuai digunakan menghadapi situasi banjir.

Bas amfibia ialah kenderaan dua alam – boleh guna di darat, boleh juga di dalam air – bagi memudahkan kerja-kerja memindahkan mangsa ketika banjir. Kenderaan unik itu juga dikatakan boleh digunakan di Tasik Kenyir sebagai usaha untuk menambahkan lagi jumlah pelancong ke negeri ini.

Konon di seluruh dunia hanya ada 13 unit kenderaan seumpamanya, maka Negeri Penyu dikira hebat – dan memecah rekod – kerana memiliki satu.

Kenderaan eksklusif itu dibuat di Malta, harganya RM3 juta sebuah. Seperti yang telah diumumkan, perjanjian pembelian telah dimeterai pada 2014, dan bayaran 50 peratus pun telah dilunaskan.

Orang ramai teringin sangat melihat, kalau boleh hendak menaiki kenderaan eksklusif itu, hendak mencipta sejarah, almaklumlah dalam dunia hanya ada 13 unit.

Tetapi sehingga hari ini, sesudah empat tahun, bas dua alam itu tidak muncul-muncul.

Banjir sudah beberapa kali melanda, penyu sudah jenuh menunggu, namun amfibia tidak kunjung tiba.

Pembelian yang dibuat setahun selepas PRU13, kini sudah hendak masuk PRU14 benda yang dibeli belum nampak. Maka ramai yang bertanya, siapakah yang beridea bernas lagi kreatif dan inovatif, memesan kenderaan tersebut dulu.

Apakah pertimbangan dan terma yang dipersetujui semasa memeterai perjanjian dan kontrak pembelian dulu? Apakah ada dinyatakan dalam kontrak bahawa penyerahan kenderaan tersebut boleh dibuat dalam tempoh lebih empat tahun?

Mengapa mereka kini berani mengingkari janji? Empat tahun adalah tempoh yang sangat lama untuk pembelian hanya sebuah bas. Kalau tempah roket atau kapal selam pun mungkin tidak mengambil masa begitu lama.

Walaupun sudah lama menjadi percakapan rakyat dan dibangkitkan dalam sidang Dun, isu sebuah bas dari kilang Malta itu masih menjadi tanda tanya.

Seperti yang dijelaskan oleh kerajaan kenderaan tersebut perlu diubahsuai mengikut kesesuaian Malaysia, dan sepatutnya diserahkan pada Jun 2015.

Tetapi telah beberapa kali diberi tarikh baharu, barang masih tidak sampai. Pihak pembangkang prihatin dengan masalah bas berkenaan yang masih tersangkut di kilang.

Adun Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pernah menawarkan dua orang jurutera untuk memeriksa kenderaan tersebut.

“Kita boleh hantar jurutera kita ke sana secara percuma, untuk menyelesaikan masalah teknikal,” YB berkenaan memberitahu sidang Dun. Tetapi kerajaan negeri memandang sepi tawaran berkenaan, sebab yakin kenderaan berharga RM3 juta itu boleh diuruskan dan akan tiba juga ke bumi keropok lekor.

Seperti yang terbukti, sampai sekarang umum masih tertanya-tanya bila amfibia dari Malta akan bersalaman dengan penyu di Terengganu.

Beberapa bulan lalu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman memberitahu media, kerajaan tidak dapat menunggu lebih lama lagi dan memberi tempoh hingga November 2017, kepada pihak pembekal.

“Sekiranya tidak (sampai pada November 2017) kita akan saman dan kita tiada kompromi,” tegas Menteri Besar.

Kini November 2017 sudah berakhir, dan 2018 sudah menghampiri Februari, namun bas amfibia masih tidak kelihatan. Kerajaan difahamkan masalah teknikal telah dibetulkan, tetapi bas masih berada di Malta.

Bas tersebut masih tersadai di luar negara, kerana masalah penghantaran, dan menurut Razif, perihal penghantaran itu adalah “soal pembekal, bukan soal kita.”

Memanglah masalah penghantaran adalah soal pembekal. Tetapi sekiranya kenderaan itu tidak dihantar, itu bererti kita kena tipu; maka itu menjadi soal kita. Duit telah dibayar, tarikh akhir penghantaran masih tidak dipatuhi. Jangan tunggu dan terus berkompromi.

Tindakan segera perlu diambil. Rakyat tidak mahu duit mereka dibazirkan begitu sahaja. Perihal bas dua alam itu – alam darat, dan alam air – jangan sesekali masuk lagi satu alam, iaitu alam alam misteri @ alam ghaib.

Biarlah bas amfibia RM3 juta itu kekal dua alam, jangan jadi tiga alam. Malu kita boh![SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner


This post first appeared on Blog Sensasi, please read the originial post: here

Share the post

#AMPHICOACH ~ Dua alam, jangan jadi tiga alam...

×

Subscribe to Blog Sensasi

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×