Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

#RENUNGAN ~ Kisah tragik remaja cerdik - A Kadir Jasin

A Kadir Jasin

MINGGU ini saya hendak cerita sebuah anekdot berkenaan kisah tragik seorang Remaja Cerdik lagi tekun yang jadi mangsa politik orang dewasa.

Ini cerita benar. Remaja cerdik ini anak sepasang pesara polis. Pasangan ibu bapa ini boleh dikira sebagai teladan. Mereka utamakan kasih sayang, akhlak dan pendidikan anak-anak.

Kita kena akui bukan semua anggota atau keluarga polis macam itu. Ada yang selalu bergaduh suami isteri, bercerai-berai, terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan dadah, dikenakan tindakan disiplin, dibuang kerja atau disumbat ke dalam penjara.

Empat anak mereka berkelulusan universiti dalam bidang komunikasi, pergigian, sains komputer dan bio-kimia. Yang kelima baru sahaja memulakan pengajian ijazah dan yang bongsu sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Kita boleh ambil keluarga ini sebagai contoh keluarga yang bahagia, berdisiplin dan bermotivasi.

Kisah anak kelima ini yang hendak saya kongsi di sini. Selepas sekolah rendah dia dapat masuk sekolah asrama penuh yang ulung di negara kita, iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar atau nama asalnya Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Siapa tidak kenal MCCK? Institusi ciptaan penjajah Inggeris yang melahirkan cerdik pandai Melayu kelas dunia. Alma maternya adalah antara yang terulung di Malaysia.

Jadi apabila MCKK dipilih memulakan kursus International Baccalaureate (IB), kalau tidak silap saya tiga tahun lalu, ia serta-merta jadi sebutan kerana dilihat sebagai satu lagi saluran pasti untuk meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah.

IB adalah sistem pendidikan akademik dan teknikal untuk remaja yang dipelopori oleh sebuah yayasan pendidikan antarabangsa beribu pejabat di Geneva, Switzerland.

Kita pun tahu, apa saja yang berjenama Swiss menjanjikan mutu dan pengiktirafan dunia. Ini adalah kerana orang Swiss adalah antara paling berdisiplin, inovatif dan telus di dunia sehingga nama mereka menjadi jaminan mutu dan piawaian.

Maka itu jugalah jenis pengiktirafan yang diterima oleh remaja anak polis tersebut lepas dua tahun menjalani kursus IB di MCKK.

Dia dapat tawaran lanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda dalam bidang kejuruteraan bukan daripada sebuah universiti di United Kingdom (UK) tapi empat, iaitu University of Liverpool, Universiy of Manchester, University of Southampton dan The Royal Holloway di Universiy of London.

Bayangkan kegembiraan remaja bermotivasi itu, ibu bapa, abang, kakak dan adiknya. Dia menjadi kebanggaan dan sumber aspirasi mereka. Sekali lagi MCCK tidak menghampakan.

Penggal pengajian universiti bermula September lalu dan di manakah budak Melayu, anak polis yang cerdik lagi bermotivasi ini?

Bukan di UK, tapi di UKM - Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemasukannya ke UKM itu pun diterima hanya selepas merayu. Permohonannya sebelum ini ditolak sebab di IB dia belajar untuk persediaan ke luar negara. Jadi sukatan pelajaran dan pengiraan CGPA yang diguna berbeza dengan persediaan universiti dalam negara.

Saya difahamkan agak sukar untuk universiti Malaysia menilai keputusan pelajar IB kecuali UKM, UTM dan UPM. Itu pun permohonan perlu dihantar kepada pihak atasan.

Saya tidak kata UKM tidak baik. Yang tidak baik adalah nasib remaja itu kerana dia ditakdirkan masuk institusi pengajian tinggi (IPT) ketika ekonomi negara merudum dan kewangan kerajaan kucar-kacir.

Bukan saja impian dia untuk belajar di universiti luar negara berkecai, semua sumber pembiayaan pendidikan tinggi, sama ada biasiswa atau pinjaman daripada sumber kerajaan, separuh kerajaan atau swasta yang dipohonnya untuk menyambung pengajian di dalam negara beri jawapan negatif.

Hendak jelas macam mana? Memang kerajaan tidak cukup duit. Peruntukan kepada semua kementerian dipotong. Hatta yang dijanjikan pun banyak tidak dibagi sebab hasil tidak cukup.

Mana sikit-sikit duit yang ada untuk dipinjamkan kepada pelajar, Mara guna pula untuk taja pasukan bola. Bagi sesetengah agensi kerajaan, tajaan bola nampaknya lebih penting daripada pengajian tinggi.

Begitulah teruknya kedudukan kewangan kerajaan dan ketidakpedulian kepada generasi muda yang bermotivasi sehingga remaja cerdik yang dapat tawaran daripada empat universiti di UK berakhir di Fakulti Ekonomi UKM dengan duit ibu bapa pencen.

Malangnya remaja cerdik anak pesara polis ini tidak keseorangan. Tragedi peribadi seperti ini dideritai ratusan dan mungkin juga ribuan budak-budak cerdik yang gagal mencapai cita-cita mereka kerana kerajaan tidak lagi dapat membantu rakyat jelata yang memerlukan pertolongan walaupun mereka cemerlang.

Inilah sebabnya dalam sistem demokrasi kita disarankan memilih perwakilan terbaik dan dasar yang mantap bukan mabuk dengan gula-gula dan janji kosong. Wallahuaklam.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner


This post first appeared on Blog Sensasi, please read the originial post: here

Share the post

#RENUNGAN ~ Kisah tragik remaja cerdik - A Kadir Jasin

×

Subscribe to Blog Sensasi

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×