Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Adakah Kerjasama Pengeluar Telefon Dengan Syarikat Kamera Menguntungkan?

Minggu lalu OnePlus 9 dan 9 Pro dilancarkan dengan sistem Kamera yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat kamera terkemuka Hasselblad. Menerusi kerjasama ini, OnePlus berharap peranti mereka akan dapat menarik minat peminat fotografi untuk membeli peranti mercu terkini mereka. Kualiti gambar lebih tinggi dengan “warna Hasselblad” menurut OnePlus dapat dinikmati apabila pengatup gambar aplikasi kamera ditekan.Ini membuatkan kami berfikir. Adakah kerjasama di antara pengeluar telefon pintar dengan syarikat kamera benar-benar menguntungkan?

Kerjasama seperti ini berlaku pada tahun 2005 apabila Nokia N90 dilancarkan dengan lensa Carl Zeiss. Selepas itu kesemua peranti mercu legenda Nokia seperti N93, N95, N8, 808 PureView dan Lumia 1020 dengan kemampuan fotografi yang baik menggunakan lensa Zeiss. Sehingga ke hari ini kami dapat melihat pembaca yang hanya akan membeli peranti Nokia sekiranya adanya penjenamaan Zeiss.

Pada awalnya kerjasama ini amat menguntungkan Nokia dan Zeiss. Nokia yang pada tahun 2005 tidak mempunyai reputasi yang baik dalam fotografi mendapat reaksi positif kerana Zeiss. Zeiss mula menjadi lebih ternama yang di luar dunia fotografi (ramai mungkin tidak mengenali Zeiss tanpa Nokia kerana ia tidak sepopular Canon atau Nikon) selepas bekerjasama dengan Nokia yang pada waktu tersebut adalah pengeluar telefon mudah alih nombor satu dunia.

Tetapi nama Nokia di tahun 2021 tidak lagi setanding dengan tahun 2005. Mereka tidak lagi tersenarai sebagai 5 pengeluar terbesar dan telah keluar dari perniagaan telefon pada tahun 2017. Reputasi Zeiss pula semakin melonjak kerana menghasilkan lensa untuk kamera digital Sony. Akibatnya apabila Nokia 9 Pureview mempunyai masalah dengan prestasi kamera yang tidak menyerlah, Nokia dikambing hitamkan dengan Zeiss langsung tidak terjejas.

Berita kerjasama Zeiss dengan Sony tahun lalau adalah antara yang paling mengujakan peminat kerana ia dilihat kombinasi yang lebih baik berbanding dengan Nokia. Sony mempunyai kelebihan kerana menghasilkan sensor mereka sendiri dan ketika artikel ditulis adalah pengeluar kamera nircermin nombor satu dunia. Perisian, perkakasan dan lensa berfungsi dengan baik dan Xperia 1 II tahun lalu tersenarai sebagai antara peranti dengan kemampuan kamera terbaik di pasaran.

Jadi tidaklah mengejutkan apabila Vivo turut menggunakan lensa Zeiss tahun ini untuk turut dipandang serius dalam kemampuan fotografi peranti mereka. Masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada kerjasama ini akan berjaya seperti Nokia dan Sony. Yang pasti ialah dengan Zeiss tidak lagi eksklusif, keistimewaan yang hanya dinikmati oleh Nokia kini tidak lagi wujud. Jika kerjasama terhenti, apa sahaja yang akan menarik minta orang ramai untuk membeli peranti Nokia? Tidak ada lagi peranti mereka yang benar-benar tahan lasak seperti 3310, menyasarkan profesional seperti Communicator dan mempunyai papan kekunci fizikal seperti Siri E.

Kerjasama yang kami rasakan paling berjaya ialah di antara Huawei dan Leica. Sebelum kerjasama dilakukan, jenama Huawei tidak mempunyai reputasi yang baik di luar negara mungkin kerana namanya yang terlalu China. Huawei P9 mengubah segala-galanya dan dalam masa hanya setahun mereka berjaya mendapat pengiktirafan sebagai antara telefon pintar dengan kemampuan kamera yang unik lebih-lebih dalam mod monokrom.

Huawei Mate 20 Pro

Yang menjadikan peranti Huawei unik ialah antaramuka aplikasi kamera yang diubah untuk kelihatan seperti Leica dengan bunyi pengatup dari kamera siri M. Ketika dunia masih menggunakan dwi-kamera untuk telefoto dan sudut lebar, Huawei menggunakan sensor monokrom untuk menghasilkan gambar yang lebih tajam. Di awak kerjasama, peranti Huawei mampu menghasilkan semula “Leica Look” yang dikenali ramai. Tidak melampau untuk mengatakan dengan prestij Leica, Huawei berjaya menjadi tiga pengeluar terbesar telefon pintar. Cuma kini dengan sekatan ekonomi masa depan kerjasama mereka mula menjadi tanda tanya tetapi telah dinafikan oleh Huawei. Pengeluar yang dikatakan ingin bekerjasama dengan Leica ialah OnePlus yang membawa kita ke persoalan seterusnya.

Adakah kerjasama antara OnePlus dan Hasselblad akan memberikan impak yang sama seperti Huawei Leica? Ramalan kami ialah mungkin tidak. Ini adalah kerana Hasselblad mempunyai rekod yang buruk apabila bekerjasama dengan pengeluar kamera. Sebelum OnePlus, mereka menghasilkan lensa untuk Vertu dan Moto Mods untuk Motorola. Kedua-duanya gagal kerana tidak pernah sekalipun kami mendengar pujian diberikan mengenai peranti-peranti yang dihasilkan. Kami bernasib baik pernah menguji Moto Mods Hasselblad True Zoom dan ia adalah antara kamera paling perlahan pernah digunakan dengan kualiti gambar yang tidak jauh bezanya dengan kamera Moto Z dimana ia perlu disambung.

Selain rekod kerjasama yang buruk sebelum ini, Hasselblad juga tidak mempunyai reputasi yang sepopular jenama lain di kalang pengguna biasa. Kamera digital mereka kali terakhir dilancarkan pada tahun 2019 – X1D II 50C. Kemudian ia lebih kerap digunakan di studio untuk pengambilan gambar potret. Tokoh yang menggunakan Hasselblad juga sekali lagi tidak begitu dikenali ramai. Berapa ramai mengenai Gered Mankowitz dan Ansel Adam dalam generasi ini? Malahan boleh kami katakan jurugambar paling dikenali ramai menggunakan Hasselblad ialah Buzz Aldrin yang mengambil potret Neil Armstrong di permukaan bulan. Untuk menarik minat orang ramai di zaman moden, tokoh yang lebih “cool” perlu dicari dan Hasselblad pada waktu ini mempunyai ketandusan cool yang ketara.

Jadi inilah sebab mengapa pengeluar telefon yang lebih yakin dengan kemampuan sendiri tidak memerlukan dengan pihak ketiga. Apple, Google dan Samsung menghabiskan banyak masa mempromosikan kemampuan kamera yang menggunakan teknologi kendiri. iPhone sejak dari awal diberikan pujian sehingga terkenal dengan kempen Shot on iPhone mereka. Samsung memasarkan peranti dengan kamera yang menggunakan sensor ISOCELL buatan sendiri. Google pula dengan kamera Pixel yang meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada perisian fotografi terbaik. Jika kualiti gambar diambil adalah baik, yang menerima pujian ialah Apple, Google dan Samsung. Bukan Sony, Leica, Zeiss, Nikon, Canon, YungNuo, Panasonic, Sigma atau Hasselblad.

Secara peribadi kami merasakan kerjasama antara pengeluar telefon dan kamera hanya menguntungkan untuk jangka masa pendek bagi menumpang nama untuk jangka masa pendek tetapi merugikan untuk jangka masa panjang. Seperti contoh yang kami berikan di atas, jika gambar yang diambil tak memuaskan pengeluar peranti dikecam. Jika gambarnya elok pula, pengeluar kamera yang dipuji. Ia lebih menguntungkan sebelah pihak. Sekiranya kerjasama berakhir, kemampuan kamera peranti dengan lensa berbeza tidak akan pula menjadi tanda-tanya.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Adakah Kerjasama Pengeluar Telefon Dengan Syarikat Kamera Menguntungkan?

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×