Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan: Jabra Halo Free – Bluetooth Headset Untuk Kegunaan Harian Dan Lasak

Jabra sentiasa terkenal dengan penawaran bluetooth headset mereka, yang meliputi produk multi kegunaan untuk pendengaran audio tanpa wayar. Penawarannya terdiri daripada beberapa produk khusus seperti untuk kegunaan korporat, sukan, muzik, dan aksesori untuk digunakan di dalam kereta.

Dalam menarik minat pengguna untuk beralih kepada pendengaran audio tanpa wayar, mereka telah hadir dengan Halo Free yang direka dengan fokus kepada “kebebasan beraktiviti”. Ia hadir tiga cara pemakaian berbeza, yang membolehkannya sesuai digunakan untuk kegunaan setempat, berjalan, dan menjalankan aktiviti lasak. Ia telah ditawarkan pada harga RM279 yang mana boleh didapati melalui pengedar-pengedar rasmi Jabra.

Apa Di Dalam Kotak

Di dalam kotak pembelian Jabra Halo Free ini didatangkan dengan beberapa aksesori standard, seperti dua pasang EarGels (eartips) dengan dua saiz berbeza mengikut kesesuaian telinga anda. Sebagai peranti dengan multi kegunaan, ia hadir dengan EarWings untuk kegunaan ketika berjalan dan EarHooks untuk digunakan apabila menjalankan aktiviti lasak. Di dalam kotak ini juga dibekalkan dengan satu kabel USB, berserta manual sebagai rujukan cara pemakaian dan membaik pulih peranti.

Rekabentuk

Jabra Halo Free dilihat hadir dengan rekabentuk moden bersama tampilan ringkas pada kedua-dua bahagian hujung Headset Ini. Bagi anda yang pernah menggunakan peranti Jabra sebelum ini, rekabentuknya masih terdapat rupa ikonik Jabra, seperti dilihat pada Jabra Sport Pulse yang penah saya ulas sebelum ini. Ia hadir dengan wayar yang tidak terlalu pendek dan tidak terlalu panjang, seperti yang dialami pada BeatsX.

Pada bahagian kanan headset ini menempatkan dengan sebuah remote, yang menempatkan mikrofon dan empat butang kawalan secara terbina. Ia meliputi butang tengah, yang mana berfungsi untuk on/off peranti, membuat pairing, dan kebolehan pause sesuatu muzik. Bersebelahan dengan butang tengah ini adalah butang pelarasan suara yang juga boleh berfungsi untuk melajukan atau previous/next muzik yang sedang dimainkan. Satu lagi butang yang berbentuk petak pula adalah butang untuk melancarkan Siri/Google Now.

Ia juga mempunyai satu sambungan Micro USB untuk pengecasan yang mana diletakkan pada bahagian kanan headset ini. Ia dilindungi dengan lapisan getah yang boleh dibuka bagi melindungi daripada kemasukan air dan debu. Sebagai peranti yang turut digunakan ketika menjalankan aktiviti kecergasan, ia mempunyai sokongan dust dan water proof untuk melindungi peranti ini daripada debu, peluh, dan air hujan.

Penyambungan

Jabra Halo Free boleh disambungkan pada mana-mana peranti yang mempunyai sambungan Bluetooth 4.1 dan ke atas. Ini bermakna, anda boleh menyambungkannya ke komputer, telefon, tablet dan alat pemain media yang menyokong sambungan Bluetooth terkini.

Untuk menyambungkannya buat kali pertama, anda perlu menekan butang tengah selama 10 saat sehingga peranti ini mengeluarkan bunyi “Go ahead and connect me”. Dari sini, anda boleh menuju ke halaman settings telefon anda untuk memulakan proses pairing bersama headset ini.

Bagi melengkapkan lagi pengalaman memakai headset ini, ia juga menyediakan aplikasi Assist yang mana disokong untuk platform Android dan iOS. Pemasangan aplikasi ini membolehkan Halo Free untuk membacakan mesej disamping memudahkan anda menjejaki kedudukan headset ini.

Penggunaan

Jabra Halo Free direka untuk memenuhi keseluruhan besar aktiviti harian anda, tidak kira untuk digunakan ketika melakukan aktiviti setempat mahupun melakukan aktiviti yang mempunyai pergerakan yang intensif. Untuk menjayakan kesemua kegunaan ini, ia terdiri dengan tiga cara pemakaian berbeza;

  • Everyday fit – Jabra Halo Free + EarGels untuk kegunaan setempat
  • On-the-Go fit – Jabra Halo Free + EarGels + EarWings untuk kegunaan ketika berjalan
  • Active fit – Jabra Halo Free + EarGels + EarHooks untuk kegunaan ketika menjalankan aktiviti lasak

Pengalaman memakai Jabra Halo ini boleh dikatakan sangat mudah, yang mana memerlukan masa di bawah 30 saat sahaja untuk mendapatkan rentak pemakaian yang betul. Tetapi apabila anda mula memasang EarWings (untuk aktiviti berjalan) atau EarHooks (untuk aktiviti lasak), ia boleh memakan masa sekitar 1-3 minit untuk mendapatkan rentak pemakaiannya, terutama bagi anda yang pertama kali menggunakan headset Jabra.

Untuk pengalaman yang selesa dan sesuai untuk digunakan secara seimbang, saya lebih menyarankan untuk menggunakan EarWings daripada tidak memakai apa-apa aksesori (selain EarGels) pada headset ini. Ia terasa lebih selamat di telinga, walaupun digunakan secara setempat.

Pemakaian bersama EarWings pula agak melecehkan, yang mana memerlukan lebihan masa untuk mendapatkan kedudukan yang betul di telinga anda. Ia ternyata lebih selamat berbanding EarWings, yang mana dibantu dengan rekaan hook yang lebih besar. Tetapi untuk kegunakan aktiviti yang sekadr untuk berlari dan berjalan, penggunaan EarWings adalah lebih memadai dan lebih mudah disimpan.

Kualiti Audio

Bunyi yang dihasilkan pada Jabra Halo Free bagi saya amat baik yang mana hadir dengan bunyi bass dan clarity yang cukup seimbang. Bunyi bassnya tidaklah sekuat Jabra Sport Pulse atau BeatsX yang ditawarkan pada harga dua kali ganda, namun masih memadai untuk memenuhi keperluan muzik kasual. Bayangkan bunyi yang hadir pada Apple Earpods, tetapi dengan penambahan bunyi bass yang lebih intensif. Bunyinya bagi saya, ia lebih direka untuk kesesuaian majoriti pengguna, tidak kira golongan muda mahupun golongan berusia.

Memakai headset ini juga menawarkan kadar noise isolation yang amat tinggi, yang mana tidak memberikan sebarang bunyi luaran ketika menggunakannya. Memakai dan memainkan muzik melalui Halo Free ini, ia membuatkan anda berada di dalam sebuah bilik yang hanya ditemani dengan muzik yang sedang dimainkan. Keupayaan seperti ini membolehkaan anda untuk fokus kepada muzik anda tanpa sebarang gangguan.

Sekiranya anda sangat mementingkan privasi lagu yang sedang dimainkan, bunyi yang dikeluarkan tidak dapat didengari oleh orang luar walaupun pembesar suara ditetapkan pada tahap maksimum. Perkara ini sangat membantu ketika di dalam pengangkutan awam, yang mana tidak mudah didengari oleh orang yang berhampiran dengan anda.

Bateri

Sepanjang menguji Jabra Halo Free, satu perkara yang saya kurang gemari adalah dari segi ketahanan baterinya yang singkat. Dengan masa memainkan muzik sekitar 4-5 jam, ia tidak begitu mencukupi untuk kegunaan saya yang mana amat intensif untuk pendengaran muzik.

Saya sering menggunakan headset ketika menuju ke tempat kerja menggunakan tren dan berjalan kaki, yang mana mengambil masa sekitar 45 minit dari rumah. Ketika di pejabat, saya akan mula mendengar muzik bermula dari pukul 12 tengahari sehingga petang ketika menulis artikel, yang mana tidak memadai untuk digunakan sepanjang hari. Adalah lebih baik sekiranya ia mempunyai ketahanan melebihi 7-8 jam, yang membolehkan saya menggunakannya di dalam tren ketika perjalanan pulang.

Ia mungkin sesuai untuk anda yang menggunakannya ketika menjalankan sesuatu aktiviti sahaja, seperti sesi workout di gym yang selalunya berjalan di bawah 3 jam. Ia juga sesuai untuk aktiviti jungle tracking dalam perjalanan menuju ke tempat rekreasi (seperti air terjun/mendaki bukit), yang mana selalunya berjalan di bawah 2 jam untuk pergi dan 2 jam untuk pulang. Tetapi sekiranya anda seorang yang menggunakannya ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja, dan seterusnya menggunakannya di pejabat, ia tidak begitu memenuhi keperluan anda.

Rumusan

Seperti namanya, Jabra Halo Free sememangnya ingin menjadi aksesori yang menawarkan kebebasan untuk kegunaan harian anda. Ia tidak direka untuk kegunaan setempat sahaja, tetapi meliputi apa jua aktiviti yang sering anda lakukan. Dengan tiga cara pemakaian unik yang hadir, ia memberikan pengalaman pendengaran audio yang cukup selesa, tanpa perlu risau dengan masalah kedudukan headset ini sepanjang berada di telinga anda.

Namun ada beberapa kelemahan yang dilihat sepanjang memakai headset ini, antaranya keupayaan baterinya yang singkat. Dengan ketahanan bateri selama 5 jam, ia hanya sesuai untuk kegunaan pada satu-satu sesi, dan bukan untuk digunakan sepanjang hari. Seperkara lagi adalah ketiadaan aksesori penyimpanan seperti sleeve case, yang perlu dijadikan standard dalam penjualan peranti seperti ini.

Pro
  • Menawarkan rekabentuk tahan lasak.
  • Mempunyai tiga cara pemakaian unik.
  • Hadir dengan rekaan yang selesa dan kukuh di telinga.
  • Butang pada remote mempunyai kawalan yang menyeluruh.
  • Didatangkan dengan sokongan dust dan water resistant.
  • Menyediakan aplikasi pintar untuk bacaan mesej daripada telefon.
  • Mempunyai sokongan waranti selama 24 bulan.
Kontra
  • Ketahanan bateri 5 jam tidak begitu mencukupi.
  • Tidak hadir dengan aksesori penyimpanan headset seperti sleeve case.

Dengan harga di bawah RM300, Jabra Halo Free amat disyorkan bagi anda yang ingin mencari bluetooth headset untuk digunakan pada sesuatu sesi aktiviti yang bakal dijalankan. Ia memenuhi kegunaan untuk pelbagai jenis aktiviti harian anda, melalui perlindungan dust dan water resistant, untuk perlindungan peranti yang lebih menyeluruh. Ia juga sesuai untuk pengguna kasual, yang inginkan sebuah headset dengan sokongan tanpa wayar bersama tampilan rekabentuk yang kemas dan elegan.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan: Jabra Halo Free – Bluetooth Headset Untuk Kegunaan Harian Dan Lasak

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×