Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Tidak Cukup Bertaubat Sahaja



Assalamualaikum W.b.t ustaz,

Di sini ada satu permasalahan yang ingin saya menanyakan ustaz. Ada seorang hamba Allah dahulunya jahil dan suka menurut hawa nafsu kerana mungkin masih muda. Beliau telah melanujtkan pelajaran dengan menggunakan sumber yang was-was. Setelah mendapat sijil tersebut, beliau telah memperolehi pekerjaan. Apakah hukum gaji yang diperolehinya? Untuk pengetahuan ustaz, sejak akhir-akhir ini, pemikirannya beliau sentiasa terganggu kerana apabila mengerjakan solat, ada suatu perasaan yang menganggu solatnya. Adakah kerana itu hidayah Allah, atau syaitan ingin menganggu penghijrahan beliau? Bagaimana hendak menyucikan harta/ gaji beliau tersebut? Adakah beliau terpaksa memberi semua hartanya kepada baitulmal atau banyakkan bersedekah? Dan selepas melakukan semuanya, adakah beliau boleh menggunakan sijil tersebut lagi untuk mencari pekerjaan?


Mohon penjelasan ustaz..Terima Kasih

Jawapan

Alhamdulillah saya ucapkan tahniah kepadanya kerana sudah berhijrah ke jalan yang benar dan diredhoi Allah. Perlu kita sedar bahawa setiap manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Maka sebab itulah kita perlu bersihkan jiwa kita dengan bertubat, bermunajat atau beribadah kepada Allah supaya setiap dosa diampunkannya.

Jangan kita susah hati tentang taubat kita diterima atau tidak diterima Allah. Tugas kita sebagai hamba Allah perlu bertaubat dari segala kesilapan yang lepas dan melaksanakan segala suruhannya dan mengelakkan diri dari membuat dosa. Soal terima atau tidak itu kerja dan urusan Allah. Cuma kita perlu ingat Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allah sangat adil kepada seluruh makhluknya. Orang yang patuh dan tidak patuh kepadanya tetap diberikan rezeki dan segala kenikmatan. Malah balasannya juga adil, orang yang tidak bertaubat akan diazab olehnya dengan azab yang setimpal dan orang yang bertaubat serta berbuat baik akan dibalas dengan balasan yang baik seperti syurga. Firman Allah SWT :

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Furqan : 70)

Jadi tidak ada pertikaian dan masalah lagi tentang taubat, bahkan tindakan itu adalah satu keputusan yang sangat bernas kerana ia masih belum terlambat. Apabila kita berhadapan dengan sakaratulmaut atau pintu taubat sudah ditutup Allah, maka ketika itu segala taubat dan penyesalan kita tidak diterima Allah lagi, sudah pasti waktu itu kebinasaan telah diundang oleh kita.

Masalah sumber yang was-was atau syubhah. Perlu kita ingat itu perbuatan yang lepas semasa jahil dahulu. Tidak mungkin benda yang lepas boleh berpatah balik, anggaplah peristiwa yang lepas itu sebagai suatu kesilapan dan pengajaran untuk kita. Masa akan datang kita perbetulkan semula agar tidak terjebak lagi dengan perbuatan sumbang tersebut.

Tidak perlulah kita sedekahkan semua wang dan harta kita kepada baitulmal, habis bagaimana pula dengan tanggungjawab kita kepada diri, isteri, anak dan ibu bapa. Mereka semua adalah tanggungjawab kita untuk diberikan nafkah. Kalau semua harta kita serahkan ke baitulmal bagaimana pula dengan kewajipan yang lain. Tindakan yang paling cantik ialah keluarkan zakat atau sedekahkan sebahagian harta kepada golongan asnaf atau orang yang memerlukan. Inilah cara untuk membersihkan harta kita dari kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan selama ini. Sabda Rasulullah SAW :

”Sesungguhnya Allah telah memfardhukan zakat sebagai pembersihan terhadap harta.” (Riwayat Bukhari)

Inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk memperbetulkan keadaan yang salah, bukan senang kita hendak mencuci harta dan wang ringgit kita, sebab ia telah bercampur aduk dari segala sumber yang ada. Dengan cara berinfak dan berzakatlah yang mampu membersihkan harta kita dari segala sumber yang was-was atau syubhah.

Sijil yang diperolehi boleh digunakan kerana sijil atau ilmu itu tidak salah, yang salah itu adalah perbuatan kita. Jadi gunalah sijil dan ilmu yang dimiliki itu untuk pembangunan ummah, kerana itulah salah satu pelaburan pahala secara berterusan walaupun kita sudah kembali ke rahmatullah. Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” (Riwayat Muslim)

Masalah ibadah yang tidak khusyuk pula. Sebagai saranan daripada saya, seeloknya luangkan masa untuk menuntut ilmu agama. Ibadah tidak akan sempurna sekiranya kita tidak mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Sebab itulah menuntut ilmu agama ini adalah sangat dituntut dan ia merupakan fardhu ain. Boleh jadi sebab kekurangan ilmu agama ibadah kita menjadi terganggu dan was-was.

Mungkin juga kekotoran hati yang diperolehi dari perkara maksiat yang telah dilakukan oleh kita dapat menghalang dari kekhusyukkan ibadah. Cara membersihkannya boleh juga dengan menghadiri mana-mana majlis ilmu yang dibuat oleh para alim ulamak. Orang yang menghadiri majlis ilmu dapat menghidupkan hatinya dan ia dapat menanggalkan kekotoran atau titik-titik hitam di dalam hatinya. Kita akan lebih selesa untuk beribadah dan mudah melakukan pekerjaan yang makruf serta disukai oleh Allah.

Penutup

Tidak cukup hanya bertaubat sahaja tetapi tidak disertai dengan ilmu, kerana dengan ilmu juga dapat membenarkan seluruh tindakan yang dibuat serta menjadi penghalang kepada kita apabila ada terlintas di dalam fikiran kita untuk melakukan kejahatan dan dosa. Malah dengan ilmu juga ia dapat menyempurnakan amalan kita dari perasaan ragu-ragu dan tidak mudah diperdaya oleh syaitan.




This post first appeared on Blog Not Found, please read the originial post: here

Share the post

Tidak Cukup Bertaubat Sahaja

×

Subscribe to Blog Not Found

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×