Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Perlindungan Takaful Bukan Melawan Takdir

Dalam seminar sistem Insurans secara Islam yang julung kali diadakan 20 tahun lalu di Kuala Lumpur, seorang peserta telah menyoal apakah kita wajar bergantung kepada insurans atau berserah kepada Allah. Barangkali untuk menjawabnya mudah. Tetapi menariknya respon sinis salah seorang ahli panel seminar itu, Allahyarham Tan Sri Dato’ Haji Asri Muda mengesyorkan supaya peserta berkenaan beredar dari dewan persidangan dan terus ke tengah jalanraya dan berbaring di situ. Allahyarham meminta supaya peserta jangan lari dan takut dengan kenderaan yang lalu lalang kerana semuanya terserah kepada Allah.

takaful concept

Sesungguhnya reaksi Allahyarham Tan Sri Dato’ Haji Asri itu amat menarik kerana menurut ajaran Islam, manusia yang diberi kuasa fikiran oleh Allah S.W.T. dikehendaki berusaha dan berikhtiar mengelak daripada berlakunya kemudharatan keatas dirinya. Berserah kepada Allah tidak bererti manusia harus diam kaku tanpa bekerja dengan menunggu sesuatu datang bergolek. Malahan langkah supaya kemudharatan dapat dihapuskan adalah menjadi suatu tuntutan agama.

Sistem insurans sebagai suatu jalan ikhtiar bukan bererti melawan takdir atau tidak percaya kepada qada’ dan qadar yang merupakan salah satu rukun iman. Jauh sekali daripada mencabar ketentuan Allah. Sebaliknya perbuatan berserah semata-mata bertentangan dengan tuntutan Islam, sebagaimana kisah seorang Arab Badwi yang melepaskan untanya tanpa ditambat dengan harapan Allah akan memeliharanya; langsung Rasulullah menyuruhnya melalui sabda: Tambatnya terlebih dahulu, dan barulah berserah kepada Allah.

Sungguhpun sistem insurans secara Islam mengikut konsep takaful terkenal dan sehingga menjadi ikutan negara-negara Islam lain, namun masih lagi ada segolongan masyarakat yang berpandangan insurans dan termasuk juga takaful tidak perlu, kecuali kita tidak percaya kepada Allah. Pola pemikiran serupa juga berlaku ada sebilangan kecil masyarakat Islam lain sebagaimana yang dialami penulis sewaktu mengunjungi Afrika Selatan baru-baru ini.

Dalam konteks ini, perlu dijelaskan kedudukan insurans itu sendiri dalam Islam. Apakah pandangan Islam terhadap konsep dan pelaksanaan insurans yang ada pada hari ini. Mengikut konsep, insurans boleh ditakrifkan sebagai satu kaedah dimana sekumpulan ahli mengembeling dan mengumpul sumber bagi membantu mana-mana anggota mereka yang menderita kehilangan atau kerugian akibat ditimpa musibah. Ini bererti bilangan yang ramai secara bersama membantu sebahagian kecil yang malang. Amalan sebegini amat dituntut oleh Islam kerana Islam mengutamakan saling bekerjasama dalam kebajikan dan kebaikan; sebaliknya menentang pakatan untuk bermusuhan.

Oleh itu konsep insurans dari segi amalan mengandungi unsur-unsur kerjasama, saling bantu membantu dan tolong menolong. Amalan ini selari dengan tuntutan Islam. Misalnya adat ‘wang darah’ atau ‘diyat’ sebagai bayaran gantirugi keatas pembunuhan seperti yang diamalkan oleh suku kaum Arab pada zaman jahiliyah dan kemudian diperakui oleh Rasulullah s.a.w. setelah tegaknya kerajaan Islam di Madinah adalah sistem yang mengandungi unsur-unsur di atas. Bahkan mengikut kajian, sistem berasaskan perlindungan secara bersama yang dipraktikkan di bawah ‘mutual insurance’ adalah dipadan dari adat diyat ini.

Dalam konteks bantu membantu, sebenarnya masyarakat Melayu telah didedahkan dengan amalan perlindungan secara bersama ini sejak ratusan tahun dulu. Ketika pedagang-pedagang Arab mula mengembara melalui laut dan darat sejak kurun kedua Islam, mereka bersetuju mengadakan pakatan mengumpul sejumlah dana bersama. Jika ditakdirkan berlaku apa-apa musibah dalam pengembaraan sehingga hartabenda atau barang dagangan mereka musnah, dana tersebut akan digunakan bagi menyediakan bantuan dalam bentuk gantirugi atau pampasan. Mangsa berkenaan sekurang-kurangnya memperolehi kembali nilai modalnya. Sesungguhnya ini adalah amalan insurans yang menekankan bantuan secara bersama melalui saling bantu membantu dalam kesusahan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Adalah jelas konsep insurans yang selaras dengan tuntutan syarak hendaklah berdasarkan kerjasama, tolong menolong dan saling bantu membantu. Jika demikian bagaimanakah sistem insurans yang disediakan syarikat-syarikat insurans perdagangan konvensional pada masa ini mengikut perspektif Syariah.

Perlu dijelaskan bahawa insurans secara konsep diterima Islam kerana Islam mengutama dan menggalakkan perbuatan bantu membantu dan bekerjasama antara satu sama lain. Yang dipersoalkan pelaksanaan insurans itu sendiri disisi syarak memandangkan kajian ulamak mendapati ia tidak menepati peraturan Syariah. Operasi insurans, melalui pelbagai produk yang dipanggil polisi adalah berasaskan kontrak jual beli. Ulamak secara umum memutuskan bahawa kontrak jual beli insurans tidak menepati rukun jual beli mengikut syarak.

Pada dasarnya ada tiga rukun jual beli : pihak-pihak yang berakad (aaqid), perkara yang diakadkan (ma’qud alaih) dan sighah (ijab kabul). Berkaitan dengan pihak-pihak yang berakad dan sighah barangkali dua rukun ini tidak dipertikaikan di bawah kontrak insurans yang dipanggil ‘polisi’ kerana sebelum sesuatu polisi dikeluarkan sudah pasti ada penanggung insurans sebagai penjual dan pemegang polisi sebagai pembeli yang berupa dua pihak yang berakad. Begitu juga dengan sighah kerana bayaran atau perakuan membayar premium oleh pemegang polisi dan persetujuan penanggung insurans mengeluarkan polisi menandakan adanya sighah.

Tetapi rukun ma’qud alaih atau perkara yang diakadkan dalam polisi insurans mengandungi banyak perkara yang tidak jelas. Mana-mana akad jual beli yang tidak jelas boleh membawa kepada ketidaksaksamaan, menyebabkan akad yang berat sebelah, sehingga membawa kemudharatan sebelah pihak. Ulamak memutuskan akad yang tidak jelas ini mengandungi unsur gharar. Ini menyebabkan ia bercanggah dengan doktrin adil dan ihsan. Lantarannya akad itu menjadi rosak dan tidak sah.

Secara umum dalam kontrak jual beli gharar boleh berlaku dalam senario :

Barang/khidmat yang dijual itu tidak wujud.

Barang/khidmat yang dijual itu wujud tetapi tidak boleh diserahkan kepada pembeli.

Barang/khidmat yang dijual itu wujud dan boleh diserahkan kepada pembeli tetapi sifat, amaun, bentuk, masa, puncanya tidak diketahui.

Mengikut ulamak, akad jual beli insurans menggambarkan senario ketiga di atas, kerana antara lain pemegang polisi tidak mengetahui berapa lama premium akan dibayarnya, bila tuntutan akan berlaku dan kalau pun berlaku jumlah manfaat tuntutan yang akan diperolehi tidak diketahui serta tidak diketahui juga dari mana manfaat itu dibayar. Bahkan banyak lagi amalan-amalan lain yang memudharatkan sebelah pihak seperti tiada pengembalian premium untuk tempoh-tempoh tertentu jika polisi dibatalkan dan perbuatan mengenakan faedah keatas pinjaman polisi.

Memandangkan insurans menjadi keperluan dalam kehidupan moden, samada atas kehendak undang-undang seperti insurans kenderaan atau peraturan yang dikenakan di bawah urusan kewangan seumpama syarat mewajibkan adanya insurans sebelum kemudahan pinjaman institusi kewangan disediakan memerlukan suatu sistem yang selaras dengan peraturan syarak disediakan. Sehubungan ini ulamak memutuskan pelaksanaan insurans yang selaras peraturan Syariah mestilah mengandungi unsur kerjasama, bantu membantu atau tolong menolong sebagaimana yang amat dituntut dalam Islam. Justeru, ulamak memutuskan sistem insurans sedemikian hendaklah diasaskan kepada takaful yang secara ringkasnya membawa maksud saling jamin menjamin.

Berdasarkan hakikat ini, pelaksanaan takaful boleh dilihat sebagai satu pakatan diantara satu kumpulan ahli yang berjanji dan bersetuju untuk saling jamin menjamin antara satu sama lain jika ditakdirkan ada di kalangan mereka menderita kerugian atau kehilangan akibat ditimpa musibah tertentu. Dari segi pelaksanaannya pakatan ini membabitkan pembentukan suatu dana khusus hasil wang sumbangan semua peserta yang akan digunakan bagi menyediakan bantuan kewangan atau pampasan untuk peserta malang itu. Sehubungan ini wang sumbangan yang dibayar termasuk dalam persetujuan derma atau tabarru’ secara bersama, untuk dana khusus tersebut. Wang sumbangan ini pula tidak boleh digunakan untuk tujuan lain atau bagi manfaat mana-mana pihak selain peserta sahaja. Konsep tabarru’ di bawah takaful adalah khusus, sekalipun secara umum tabarru’ itu membawa maksud wang sumbangan boleh digunakan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya. Dalam konteks ini tabarru’ adalah tertakluk kepada akad takaful secara keseluruhannya. Pihak yang tidak terbabit dalam akad tidak berhak kepada manfaat wang tabarru’ itu.

Wang sumbangan itu dilaburkan bagi memperteguhkan lagi dana. Apa-apa pulangan pelaburan yang berupa untung, sebahagiannya akan menjadi hak peserta melalui perjanjian berkongsi untung. Istilah untung di bawah takaful harus ditakrifkan dengan jelas untuk memastikan tiada unsur yang tidak diketahui. Bagi takaful melindungi hartabenda yang secara am tempoh penyertaan adalah setahun dan boleh diperbaharui, untung ditakrifkan sebagai lebihan wang sumbangan yang dicampurkan pulangan pelaburan keatasnya dan ditolak kos manfaat yang dibayar peserta kerana ditimpa musibah, peruntukkan rezab dan belanja menyediakan takaful semula. Untung ini akan dikongsi diantara peserta dengan pengendali berasaskan nisbah yang telah dipersetujui seperti 7:3, 6:4 atau 5:5.

Sementara takrif untung bagi takaful dengan tempoh penyertaan jangkapanjang adalah pulangan kasar ke atas pelaburan. Untung ini juga akan dikongsi diantara peserta dengan pengendali mengikut nisbah yang telah dipersetujui. Prestasi takaful jangkapanjang ini hanya munasabah diukur secara jangkapanjang juga dengan mengambilkira keadaan ekonomi sesuatu masa yang sedikit sebanyak boleh mempengaruhi iklim pelaburan.

Takrif untung di atas mengikut sistem perkongsian untung yang dijelaskan adalah terpakai bagi operasi takaful berasaskan prinsip al-Mudharabah. Adapun takrif untung bagi operasi takaful mengikut kontrak berasaskan prinsip al-Wakalah ada sedikit perbezaan.

The post Perlindungan Takaful Bukan Melawan Takdir appeared first on ERATUKU.



This post first appeared on Eratuku, please read the originial post: here

Share the post

Perlindungan Takaful Bukan Melawan Takdir

×

Subscribe to Eratuku

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×