Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Tajul, Afieq popularkan semula lagu arwah Achik

Menyifatkan kemenangan diraih sebagai rezeki, Tajul tidak pernah merancang Menyanyikan Semula Lagu arwah Achik, sebaliknya mengikut kehendak syarikat rakaman.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Tajul Arif, 23, terpaksa akur kehendak syarikat rakaman biarpun keberatan menyanyikan semula lagu dendangan arwah abangnya, Acik Spin ekoran bimbang dituduh menumpang populariti.

Namun, percaturan syarikat rakaman, FMC Music menggandingkan Tajul dan Afieq Shazwan menyanyikan semula lagu Malam Semakin Dingin nyata tidak sia-sia apabila lagu itu berada dalam kedudukan Top 3 Karaoke Trending Hit pada Joox Top Music Awards Malaysia, baru-baru ini.

Ditemui sejurus majlis, Tajul berkata, dia tidak menyangka video muzik Malam Semakin Dingin ditonton hampir 25 juta dalam laman YouTube, sekali gus menjadi pilihan 'kaki karaoke'.

Menyifatkan kemenangan diraih sebagai rezeki, Tajul berkata, dia tidak pernah merancang menyanyikan semula lagu-lagu arwah abangnya, sebaliknya hanya mengikut kehendak syarikat rakaman.

"Saya percaya pasti timbul dakwaan mengatakan saya ingin menumpang populariti apabila menyanyikan semula lagu-lagu yang pernah dipopularkan arwah.

"Namun, saya semakin lali dan langsung tidak ambil hati sekiranya masih ada yang memperkatakan mengenainya.

"Bagi saya, tidak salah saya menyanyikan semula lagu arwah. Saya menyanyi lagu milik arwah abang, darah daging saya sendiri. Lagi pun, ia juga atas kehendak syarikat rakaman.

"Namun, apa yang membuatkan saya tidak sangka Lagu Malam Semakin Dingin nyata membawa tuah kepada saya dan Afieq. Apabila difikirkan semula, pendengar pasti akan terkenangkan arwah jika lagu nyanyian kembali dipopularkan," katanya kepada BH Online.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, awalnya dia dan Afieq juga terasa janggal apabila perlu berduet menerusi lagu Malam Semakin Dingin.

"Selalunya lagu duet dinyanyikan penyanyi lelaki dan wanita. Jadi, apabila FMC Music minta dinyanyikan secara duet, Afieq agak keberatan kerana bimbang dituduh bukan-bukan.

"Namun, syarikat rakaman menganggap ia satu kelainan apabila menggabungkan dua penyanyi lelaki. Nyata percaturan ini tidak silap.

"Selepas lagu Malam Semakin Dingin, ramai peminat mahu kami menyanyikan lagu lain milik arwah. Antara lagu yang menjadi permintaan, Resah Kerinduan yang dilancarkan, semalam," katanya.

Tajul tidak menyangka lagu Malam Semakin Dingin berada dalam kedudukan Top 3 Karaoke Trending Hit, Joox Top Music Awards Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas sampai bila akan terus menyanyikan lagu arwah Achik, Tajul berkata, dia akan mengikut apa sahaja kehendak syarikat rakaman.

Bagaimanapun, katanya, itu bukan bermakna dirinya tidak akan menghasilkan single baharu.

Penyanyi lagu Sedalam Dalam Rindu itu berkata, dia dalam proses untuk menyiapkan single baharu, walaupun sibuk dengan lagu duet.

"Saya tidak pernah lupa single solo, cuma, buat masa ini, jadual agak sibuk dengan projek duet. Sebenarnya, perancangan untuk menghasilkan single solo memang ada, malah dalam proses menyiapkannya.

"Saya juga tidak pernah mengehadkan berduet dengan mana-mana penyanyi, malah, tidak pernah menghalang sesiapa sahaja mahu menyanyikan semula lagu arwah abang," katanya.



This post first appeared on Artis Meletop, please read the originial post: here

Share the post

Tajul, Afieq popularkan semula lagu arwah Achik

×

Subscribe to Artis Meletop

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×