Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

AWAS - Waspada ubat tahan sakit

Fahmi Bin Hassan - Ketua Penolong Pengarah Bahagian Amalan & Perkembangan Farmasi dan Kementerian Kesihatan
Ubat Tahan Sakit adalah ubat yang digunakan untuk merawat atau melegakan kesakitan. Pelbagai jenis Ubat Tahan Sakit digunakan dalam bidang perubatan.
Ubat tahan sakit boleh diambil melalui mulut (tablet, kapsul dan cecair), melalui suntikan oleh doktor dan melalui dubur (supositori).
Ada juga ubat tahan sakit dalam bentuk krim dan salap yang boleh disapu pada permukaan kulit.
Secara umumnya ubat tahan sakit yang biasa digunakan boleh dibahagikan kepada tiga jenis mengikut cara mereka bertindak, iaitu:
1. Ubat antikeradangan bukan steroid (NSAIDS). Contoh bagi ubat jenis ini adalah ibuprofen dan diclofenac sodium
2. Parasetamol/ asetaminofen
3. Opiod. Contohnya adalah morfin dan tramadol. Kebanyakan pesakit yang memerlukan ubat jenis ini adalah mereka yang menghidap sakit kronik dan menjalani rawatan di wad.
Ada juga ubat tahan sakit dalam pasaran yang mempunyai gabungan beberapa jenis ubat tahan sakit bagi menambah keberkesanan ubat-ubatan itu.
Di negara asing, banyak ubat tahan sakit diletakkan bawah kategori ubat yang boleh dibeli di kaunter kedai ubat atau farmasi (OTC). Ubat-ubatan ini tidak memerlukan preskripsi doktor malah boleh dibeli di kedai runcit dan serbaneka.
Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, ubat tahan sakit ibuprofen dan naproxen mudah dibeli di kedai biasa.
Namun begitu, situasinya berbeza di Malaysia. Majoriti ubat tahan sakit hanya boleh didapati di farmasi dan klinik.
Walaupun ada beberapa jenis ubat yang tidak memerlukan preskripsi, ia hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berdaftar. Ini supaya kaunseling
ubat-ubatan dan pemantauan kesan sampingan dapat dilakukan.
Setakat ini, parasetamol adalah satu-satunya ubat tahan sakit oral yang boleh diperoleh dari kedai lain selain farmasi dan klinik.
Parasetamol adalah sejenis ubat yang mempunyai profil keselamatan yang baik dan kurang kesan sampingan sekiranya digunakan mengikut dos dicadangkan.
Masalah mungkin berlaku apabila pengambilan ubat-ubatan tahan sakit ini diambil tanpa kawalan dan pemantauan.
Lebih-lebih lagi apabila ia mudah didapati seperti di negara yang membenarkan penjualannya di kedai selain farmasi. Antara risiko yang paling tinggi adalah masalah fungsi buah pinggang.
Masalah buah pinggang ini boleh dibahagikan kepada dua. Pertama adalah kegagalan buah pinggang akut.
Ia dilaporkan berlaku kepada mereka yang mengambil ubat tahan sakit pada dos yang tinggi dalam tempoh singkat.
Kebanyakan pesakit yang mengalami gejala ini adalah mereka yang mempunyai masalah kekurangan bendalir dalam badan atau dehidrasi.
Selain itu, pesakit geriatrik, penghidap lupus eritematosus sistemik (SLE) dan mereka yang mengambil alkohol dengan banyak lebih berisiko untuk mengalami kegagalan buah pinggang akut ini.
Satu jenis lagi masalah buah pinggang adalah kegagalan buah pinggang kronik. Ia juga digelar nefropati analgesik.
Masalah ini disebabkan oleh penggunaan ubat-ubatan tahan sakit tanpa kawalan dalam tempoh yang panjang.
Kegagalan buah pinggang jenis ini memakan masa yang lama untuk berlaku. Beberapa kajian menunjukkan yang ia berlaku apabila pesakit mengambil ubat tahan sakit setiap hari dalam tempoh tiga ke enam tahun.
Kebiasaannya, ia berlaku pada mereka yang mengambil ubat tahan sakit tanpa arahan dan tanpa pengawasan doktor atau ahli farmasi.
Bagi memastikan ubat digunakan secara selamat, pesakit yang dalam kesakitan dinasihatkan untuk mengambil ubat tahan sakit mengikut kadar yang ditetapkan.
Contohnya bagi pesakit yang dipreskripsikan dengan parasetamol, anda mungkin dinasihatkan untuk mengambil ubat itu empat kali sehari manakala sesetengah pesakit lain cuma dinasihatkan untuk mengambil ubat pada waktu sakit sahaja. Ini bergantung pada jenis sakit dan ubat yang diberi.
Ubat-ubatan NSAIDS seperti ibuprofen dan diclofenac perlu diambil bersama makanan atau selepas makan.
Ini bertujuan mengurangkan kesan sampingan ubat itu. Apa yang penting adalah kita mengikut arahan yang diberi oleh ahli farmasi atau doktor sewaktu mendapat ubat itu.
Seperti kebanyakan ubat untuk penyakit akut, ubat tahan sakit perlu diambil dalam jangka masa paling singkat dengan dos paling rendah yang dapat melegakan sakit.
Ini dapat mengelakkan atau mengurangkan kesan sampingan ubat. Kebanyakan pesakit cuma memerlukan rawatan selama beberapa hari (sakit kepala atau sakit gigi) atau beberapa minggu (kekejangan otot).
Bagaimanapun ada juga pesakit yang memerlukan rawatan untuk jangka masa lama seperti penghidap osteoartritis, artritis reumatoid dan sakit belakang yang kronik.
Bagi mereka yang memerlukan ubat tahan sakit, dapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi sebelum mengambil ubat-ubatan anda.
Kebiasaannya rasa sakit yang dihadapi boleh dirawat oleh doktor tanpa menggunakan ubat tahan sakit. Ubat tahan sakit selamat diguna untuk sakit yang datang secara akut dan tidak kerap sekiranya diambil mengikut peraturan dan dos yang dicadangkan.
Bagaimanapun, bagi mereka yang menghidap rasa sakit yang kronik, pemantauan berpanjangan oleh doktor sepanjang rawatan adalah sangat penting bagi memastikan kesan sampingan ubat dapat dipantau dan dielakkan.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang).

sumber : mymetro


This post first appeared on ScaniaZ, please read the originial post: here

Share the post

AWAS - Waspada ubat tahan sakit

×

Subscribe to Scaniaz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×