Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Janna kesal netizen pertikai niat baik

Janna enggan mempedulikan kecaman netizen, sebaliknya membiarkannya walaupun diasak pelbagai persoalan.

Buatlah apa sahaja, setiap inci perilaku Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Janna Nick sering mengundang kecaman.

Baik atau buruk, ia pasti dihakimi. Hinggakan niat baik pelakon drama Bukan Cinta Aku dan Shakira itu membina Kompleks Tahfiz & Anak Yatim Nurul Jannah di Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah dipandang serong.

Ia termasuklah sumber wang digunakannya untuk membina pusat tahfiz, selain jubah hitam digayakan ketika melawat tapak pembinaan yang agak ketat turut menjadi bualan.

Sebelum itu, insiden rakaman kamera papan pemuka kejadian penyampai berita TV3, Khairul Rizuan Azizan diseret ketika mengejar penjenayah yang dimuat naik Janna dalam aplikasi TikTok dan Instagram (IG) mengundang pelbagai pertikaian.

Janna berkata, hidup ini bukan mudah untuk memuaskan hati orang. Namun, jika selama-lamanya nak jaga hati orang, dia sendiri takkan ke mana-mana.

"Tidak mengapa, saya anggap ini ujian dan cermin diri agar tidak menjadi seperti segelintir netizen. Macam saya tulis dalam IG, jika kita boleh kongsi benda negatif, kenapa tidak boleh berkongsi perkara positif. Seperti usaha saya mencari dana membina pusat tahfiz ini.

"Saya bukannya malaikat, saya juga manusia biasa yang tidak terlepas melakukan kesilapan.

"Soal halal, haram atau sebagainya biarlah Allah mengadili. Terpulanglah kepada mulut netizen yang mahu mempersoalkannya," katanya kepada BH Online.

Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner berkata, dia kesal dengan tindakan segelintir netizen yang mempertikaikan halal haram sumber pendapatan dalam menjayakan projek murni ini.

"Tetapi, saya tidak mampu menutup mulut netizen yang gemar mencari salah berbanding menyokong perkara baik. Buat baik tetap nak cari kesalahan saya.

"Sebenarnya, sudah dapat menebak pertikaian ini berlaku dan menjadi perbalahan netizen. Tetapi, saya enggan ambil pusing, sebaliknya mahu fokus mencari dana demi membangunkan pusat tahfiz ini," katanya.

Berhubung jubah hitam agak ketat ketika melawat tapak pembinaan kompleks tahfiz dan anak yatim, Janna enggan komen, tidak mahu isu itu tidak dipanjangkan.

"Jika ada silap dan salah, saya mohon maaf," katanya ringkas.

Mengulas tuduhan netizen tak turun kereta membantu pembaca berita TV3, Khairul Rizuan, Janna berkata, dia sebenarnya turun kereta dan Bertemu Khairul Rizuan, cuma tidak menyiarkan video penuh.

"Awalnya, saya memang tidak tahu Khairul Rizuan bekerja sebagai penyampai berita di TV3.

"Saya tak boleh melulu keluar daripada kereta tanpa mengetahui cerita sebenar. Lagi pun, saya perlu beri tumpuan mendapatkan Nombor Plat Kereta, satu-satunya peluang menangkap suspek.

"Sebaik video dirakam ditamatkan, saya dan Dini Azan Schatzmann turun kereta dan bertemu Khairul Rizuan untuk bertanyakan keadaan dirinya. Saya juga dapat menyerahkan nombor plat kereta suspek kepadanya," katanya.

Penyanyi lagu Gatal Raya itu berkata, dia belum berkesempatan bertemu Khairul Rizuan lagi.

"Namun, saya ada membaca artikel dalam BH Online, Khairul Rizuan segan nak jumpa saya.

"Jujurnya, saya buat semua ini atas kapasiti kemanusiaan. Saya percaya jika orang lain yang berada di tempat saya akan melakukan perkara yang sama.

"Sudah memadai Khairul Rizuan mengucapkan terima kasih kerana rakaman saya membantu pihak berkuasa menahan suspek," katanya.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Janna kesal netizen pertikai niat baik

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×