Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Iss Arffan Kisah di sebalik Tiada Bernoktah

MESKI penularan Covid-19 dalam negara masih bertali arus, namun ramai bakat baharu seni suara tanah air muncul mempertaruhkan karya seni Lagu mereka.

Salah seorangnya adalah penyanyi dikenali Iss Arffan yang bernaung sebagai artis di bawah syarikat rakaman Map Music dan kini tampil dengan single berjudul Tiada Bernoktah.

Terdahulu, Iss Arffan atau nama sebenarnya Mohd Nur Izwandi Affendi juga adalah pemenang tempat ketiga dalam program Lagu Cinta Kita musim 2 (LCK2), terbitan TV3.

Mengulas mengenai single solonya itu, Iss Arffan berkata, dia sangat meminati genre balada dan teruja dapat merakamkan Lagu Tiada Bernoktah, hasil ciptaan melodi dan liriknya ditulis, El Hadam dari Media Asia Production Sdn Bhd.

"Dari segi penceritaan lagu Tiada Bernoktah, ia menceritakan mengenai sebuah perhubungan di antara pasangan kekasih yang sudah menghampiri ke arah alam perkahwinan.

"Kisahnya mengenai seorang lelaki yang setia pada cintanya sudah bertungkus-lumus untuk membuat persediaan perkahwinan demi memenuhi kehendak kekasih disayangi.

"Namun kekasihnya pula beralih arah di belakang dan curang selepas berjumpa dengan lelaki lain yang lebih sempurna di mata. Akhirnya kepalsuan cinta si kekasih dilihat sendiri oleh lelaki itu," katanya.

Menurut Iss Arffan, di atas dugaan yang menimpa akhirnya mereka cuba untuk berbincang mengenai masa depan tetapi hinaan serta makian yang dilemparkan oleh kekasihnya dan usaha dilakukan tidak berbaloi.

"Kisah dimuatkan dalam lagu Tiada Bernoktah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Dalam hubungan cinta, biasalah ada pasangan setia dan tidak kurang juga yang sanggup melukakan serta curang.

"Apapun, saya sangat kagum dan hormat dengan cara bertindak lelaki digambarkan dalam lagu ini yang mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan kekasihnya itu.

"Malah, kekasihnya yang cuba ingin kembali semula kepadanya tidak diterima. Ini kerana, tiada lagi ruang di hati lelaki itu terhadap wanita curang berkenaan.

"Lirik berbunyi 'sadis terbunuh sakit ditembus oleh katamu', cukup menceritakan betapa hinanya lelaki berkenaan di mata wanita yang tidak tahu menghargai erti keikhlasan dalam perhubungan cinta yang tulus," katanya.

Sehubungan itu, lagu Tiada Bernoktah sudah dilancar pada 22 Januari lalu dan boleh didapati di semua platform digital muzik dan di strim. Malah, diharapkan lagu ini mendapat tempat di hati pendengar dan Iss Arffan terus mewarnai industri muzik tanah air.

Sebelum bergelar penyanyi, Iss Arffan adalah seorang pemain bola sepak. Suatu hari, ibunya mendengar nyanyian pemuda ini dan terus membuat keputusan untuk mengasah bakat seninya melalui kelas vokal Melayu Asli.

Iss Arffan juga pernah menyertai pertandingan lagu Melayu Asli antara sekolah di seluruh Sarawak dan mendapat tempat ketiga. Selepas tiga tahun sibuk dengan pelajarannya, dia kemudian memberanikan diri membuat persembahan seperti busking dan menyertai pertandingan karaoke di Sarawak.

Minat menyanyi yang semakin membara dalam hati Iss Arffan turut dikongsikannya di media sosial seperti Instagram dengan aktif membuat pelbagai 'cover' lagu hits nyanyian penghibur popular tanah air.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Iss Arffan Kisah di sebalik Tiada Bernoktah

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×