Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Iman troye luar biasa

Tags: iman lagu sudah

DALAM tempoh seminggu, video muzik (MV) Lagu Teman nyanyian Iman Troye sudah mencecah lebih 1.5 juta tontonan di YouTube.

Bagi pendatang baharu seperti Iman, ia satu pencapaian yang boleh dianggap luar biasa. Apatah lagi, lagu ciptaan Ezra Kong itu kian menjadi siulan ramai.Bukan saja dalam kalangan peminat, tapi juga barisan selebriti tanah air. Ia sekali gus melonjakkan lagi lagu dan nama Iman, 18, atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin.

Namun, Iman yang juga anak bongsu daripada tiga beradik ini perlu akur apabila tidak semua yang menyukai kemunculannya itu.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan komen negatif yang dilemparkan. Kalau dilayan, memang boleh buat diri 'down'. Cuma, apa saya lakukan adalah membaca komen itu dan ambil ia dari sudut positif.

"Saya perlu baca untuk memajukan dan memperbaiki diri sendiri kecuali jika komen itu tidak ada kaitan dengan lagu atau nyanyian, saya memang tak layan. Malah, kebanyakan komen dan mesej peribadi (DM) di Instagram saya balas. Saya sangat menghargai setiap kata-kata semangat yang diberikan," katanya.

Bagi Iman yang pernah menyertai program I Can See Your Voice tahun lalu, keputusan melangkah secara serius dalam bidang nyanyian membuktikan dirinya juga sudah bersedia berdepan dengan segala cabaran yang lebih besar.

"Apabila saya masuk industri muzik, ini bermakna saya bersedia untuk apa saja cabaran dan kemungkinan yang mendatang. Sebab saya suka belajar perkara baharu.

"Cuma, tidak dinafikan ada sedikit perasaan takut. Bukan apa, kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa akan datang. Saya takut perkara buruk dalam hidup. Contohnya, orang tidak boleh terima nyanyian, lagu yang dikeluarkan dan diri saya," katanya.

Namun, Iman bertuah apabila mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan keluarga. Itu menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang.

"Pembakar semangat saya sudah semestinya keluarga, syarikat rakaman dan peminat. Selain itu, saya menjadikan perjalanan hidup dan kerjaya beberapa penyanyi terkenal lain sebagai rujukan untuk memajukan diri.

"Antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Ning Baizura, Siti Sarah dan Liza Hanim. Saya mengikuti kisah mereka dari awal sampai sekarang. Dari situ saya belajar banyak perkara bagi mendapatkan semangat.

"Lagipun, saya dibesarkan dengan lagu-lagu mereka. Keluarga pula memang suka mendengar lagu-lagu lama. Sedikit sebanyak ia mempengaruhi minat saya. Kalau ditanya atau diminta menyanyikan lagu lama, saya boleh," katanya.

Suka bertanding

Mula menyanyikan lagu saduran (cover version) di Instagram sejak berusia 16 tahun, Iman mengakui minatnya itu mendorong dia melangkah lebih jauh.

Namun, Iman diberikan syarat oleh keluarga untuk menamatkan persekolahan terlebih dahulu.

"Selepas terbabit program ICYV, saya kena fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, mak memang tidak benarkan saya untuk terikat dengan mana-mana syarikat rakaman. Ketika itu sudah ada beberapa tawaran yang datang.

"Selepas SPM, tawaran datang lagi dan akhirnya mengambil keputusan untuk memilih syarikat rakaman sekarang iaitu XO House," katanya.

Dalam masa sama, Iman kini melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara(UiTM), Shah Alam.

"Memandangkan pengajian sekarang secara dalam talian, jadi tidak ada masalah nak memberi fokus dan membahagikan masa. Lagipun, saya sudah berikan jadual kelas kepada pihak pengurusan. Dari situ mereka boleh susun jadual kerja saya. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar.

"Dalam keadaan sekarang yang mana saya belajar dan menyanyi, ibu bapa menjadi pemantau saya. Mereka tidak mahu saya alpa," katanya.

Selain itu, Iman berkongsi dia bersedia untuk menyertai mana-mana pertandingan program realiti lain.

"Kalau dapat tawaran masuk pertandingan program lain, saya sudah bersedia. Saya memang suka masuk pertandingan sebab suka perkara baharu selain dapat mengasah bakat saya," katanya.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Iman troye luar biasa

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×