Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Kelebihan kaca mata hitam




MENYARUNG busana dengan padanan aksesori yang sesuai dapat menyerlahkan gaya si pemakai dan kadangkala ia menjadi satu titik fokal yang mendominasi pandang orang kepada si pemilik tubuh.

Mengenakan beg, mekap atau barangan kemas menjadi perkara biasa untuk menonjolkan lagi gaya seseorang itu.

Tidak ketinggalan, cermin mata hitam juga antara aksesori yang mampu menaikkan aura seseorang walaupun pada asasnya mempunyai fungsi sebagai pelindung mata daripada sinaran mata hari.

Perunding Gaya, Faizal Hamid berkata, cermin mata hitam antara elemen yang boleh dikategorikan sebagai aksesori paling berguna dalam menonjolkan diri seseorang kerana kehadirannya mampu menyerlahkan identiti si pemakai untuk kelihatan yakin dan eksklusif di hadapan khalayak.

Jelasnya, pemakaian cermin mata hitam juga kadangkala menjadi identiti penting bagi seseorang bagi menunjukkan kelainannya daripada orang lain meskipun menyarung set busana yang mempunyai nilai harga tinggi.

"Kita boleh lihat ada selebriti fesyen antarabangsa yang seolah-olah wajib mengenakan cermin mata hitam ketika berada di khalayak bukan sahaja untuk menjadi pelindung diri daripada dikenali, malah menjadi identiti mereka apabila berada dalam kalangan selebriti.

"Bagaimanapun, sebagai seseorang yang ingin nampak bergaya kita tidak perlu meniru konsep diketengahkan orang lain terutama selebriti kerana setiap individu mempunyai keunikan bergaya yang berbeza," katanya.

Faizal berkongsi lima kelebihan mengenakan cermin mata hitam kepada diri si pemakai:

1. Aksesori cepat suai padan

Diketahui umum ketika ini terdapat lambakan gaya cermin mata hitam di pasaran bermula daripada harga mampu milik sehingga berjenama antarabangsa yang mampu mencecah puluhan ribu kerana bahan dan identiti pereka fesyen tampil bersamanya.

Apabila sudah mendapat suatu gaya cermin mata hitam yang sesuai dengan bentuk wajah seseorang, seseorang itu kadangkala tidak perlu memikirkan lagi kesesuaiannya untuk digayakan bersama sesuatu busana kerana keserasian aksesori itu terletak di wajah.

Namun, dengan kehadiran cermin mata hitam yang mempunyai fungsi tertentu seperti untuk bersukan, jangan pula dikenakan dengan busana anggun makan malam kerana ia sekali gus menonjolkan gaya pelik si pemakai yang kelihatan keliru.

2. Mampu menjadi titik fokal dalam penggayaan

Walaupun terletaknya cermin mata hitam di muka seseorang, ia juga menjadi aksesori yang paling berjaya menarik perhatian khalayak atau mendominasi rupa kerana bentuk muka si pemakai boleh kelihatan sedikit berbeza apabila mengenakannya.

Jadi bagi mereka yang ingin menjadikan cermin mata hitam sebagai aksesori dalam penampilan perlu bijak memilih reka bentuk sesuai dengan wajah mereka supaya kelihatan sepadan dan tidak canggung apabila dipakai. Tidak semua reka bentuk cermin mata hitam sesuai untuk semua orang kerana ia bersandarkan bentuk wajah.

3. Gaya malar hijau

Jika kita lihat golongan terdahulu mengenakan pelbagai jenis cermin mata hitam dalam pelbagai acara termasuk dalam premis dan ia masih diamalkan sehingga hari ini. Ini kerana seperti dikatakan pemakaian cermin mata hitam bukan lagi bersandarkan fungsi melindungi mata daripada cahaya matahari, tetapi menjadi aksesori gaya.

Kadangkala apabila si pemilik bijak mencari bentuk cermin mata hitam yang klasik dan serasi dengan wajah mereka, mengenakan dengan sebarang busana sekali pun akan dapat memberi keunikan kepada si pemakai.

4. Penutup cela paling berkesan

Kadangkala apabila kita ingin cepat untuk keluar rumah, terasa malas berdandan rupa terutama mengenakan mekap, cermin mata hitam paling membantu menutup wajah yang tidak bersiap.

Malah, ia juga dapat membantu menutup keadaan sekitar mata yang mungkin terdapatnya lebam atau gelap akibat tidak cukup tidur.

5. Tambah nilai eksklusif si pemakai

Cermin mata hitam sama juga seperti aksesori lain seperti tas tangan yang kadangkala mendominasi gaya seseorang kerana ia mempunyai jenama pereka terkenal.

Apabila mengenai cermin mata hitam yang mempunyai nilai atau gaya mahal, menyarung busana yang bukan hasil sentuhan pereka fesyen ternama sekali pun, ia mampu menaikkan aura si pemakai kerana aksesori berkenaan.

Kadangkala ada yang memilih cermin mata hitam yang lebih mahal daripada pakaian kerana merasakan langkah itu paling ideal menonjolkan identiti seseorang.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Kelebihan kaca mata hitam

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×