Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Hikmah Sabar Dan Solat

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala Mereka dengan tidak terkira".
(Az-Zumar 39:10)

Hikmah Sabar Dan SolatAyat Quran diatas menerangkan betapa sifat sabar memiliki balasan yang tidak terkira di hari akhirat dan sebahagianya memiliki hikmah diatas dunia ini.Boleh dikatakan sabar itu seperti perisai,seperti orang yang berpuasa (menahan diri),dan perbagai lagi sifat yang menyerlahkan bahawa orang tersebut memiliki ciri-ciri seorang yang beriman.

Sabar ini memiliki perbagai bentuk dan keadaanya,antaranya sabar dalam mematuhi perintah Allah,iaitu perkara-perkara fardhu,serta hal-hal sunnah,begitu juga sabar terhadap perkara yang dilarang oleh Allah dari dilakukan,sabar terhadap keadaan sekeliling,ujian juga musibah yang menimpa,dan sabar ini juga memiliki tingkat keimanan yang tinggi hingga mampu memasuki syurga tanpa hisab di hari hisab (iaitu ketika orang-orang menerima hisab amalan mereka,golongan ini tidak dihisab amalan mereka kerana kesabaran mereka cukup melayakan mereka tidak perlu dihisab) kerana kita sedia maklum bahawa sabar itu memelukan cukup banyak sifat menahan diri atau sentiasa cuba untuk menundukan kehendak diri.

“Hadis riwayat Abu Said Al-Khudri ra.: Bahawa sebahagian orang Ansar meminta kepada Rasulullah saw., maka beliau memberi mereka. Kemudian mereka meminta lagi, beliau pun memberi mereka, sampai ketika telah habis sesuatu yang ada pada beliau, beliau bersabda: Apapun kebaikan yang ada padaku, maka aku tidak akan menyembunyikannya dari kalian. Barang siapa menjaga kehormatan diri, maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya. Barang siapa yang merasa cukup, maka Allah akan mencukupinya. Barang siapa yang bersabar, maka Allah akan membuatnya sabar. Seseorang tidak diberi suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.”(HR.MUSLIM No:1745)

Diperincikan lagi keutamaan sabar menerusi hadits-hadits Rasulullah s.a.w seperti berikut:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ


Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu berkata, seorang lelaki berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam : “Berilah aku wasiat”. Beliau menjawab: “Janganlah engkau marah”. Lelaki itu mengulang-ulang permintaannya, (namun) Nabi (selalu) menjawab, “Janganlah engkau marah”

Dari Athiyyah as-Sa’di Radhiyallahu anhu berkata, Rasulullah bersabda:


عَنْ جَدِّي عَطِيَّةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْغَضَبَ مِنْ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنْ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ


Sesungguhnya amarah itu dari setan dan setan diciptakan dari api. Api akan padam dengan air. Apabila salah seorang dari kalian marah, hendaknya berwudhu.


إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِذَا ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْتَجِعْ


Jika salah seorang dari kalian marah saat berdiri, hendaknya ia duduk, kalau belum pergi amarahnya, hendaknya ia berbaring (Hadits sahih).

Sabar sering dikaitkan dengan perasaan marah.Tidak puas hati pada sesuatu atau keadaan,pada orang,apa jua yang berlaku yang tidak menyenangkan,namun lebih daripada itu,iaitu sabar dan menerima,menghadapi perbagai dugaan dan ujian,musibah,kewajipan dan kehidupan yang saban hari semakin menguji iman seseorang di akhir zaman ini.Rasulullah s.a.w memberikan petua dan cara bagi merendam bara kemarahan ini agar tidak mencetuskan api.Antaranya dengan berwudhuk,serta jika ia berdiri,hendaklah ia duduk.Ia boleh juga dengan berbaring agar perasaan marahnya itu reda dan lenyap.Serta juga membaca doa.


سَمِعْتُ سُلَيْمَانَ بْنَ صُرَدٍ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اسْتَبَّ رَجُلَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَغَضِبَ أَحَدُهُمَا فَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى انْتَفَخَ وَجْهُهُ وَتَغَيَّرَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ الَّذِي يَجِدُ فَانْطَلَقَ إِلَيْهِ


Diriwayatkan dari Sulaimân bin Shurd Radhiyallahu anhu berkata, “Aku pernah duduk di samping Nabi saat dua orang lelaki tengah saling caci. Salah seorang dari mereka telah memerah wajahnya, dan urat lehernya tegang. Beliau bersabda, “Aku benar-benar mengetahui perkataan yang bila diucapkannya, nescaya akan lenyap apa (emosi) yang ia alami. Andai ia mengatakan: a’ûdzu billâhi minasy syaithânir rajîm, pastilah akan lenyap emosi yang ada padanya [HR. al-Bukhâri no. 3282, Muslim no. 2610]

Tetap diam ketika dalam keadaan marah,kerana diam mampu mengekang kemarahan dari terus meluap naik.

Dari Ibnu Abbaas dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda:


إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ


Barang siapa marah, hendaknya diam (dulu)

Ibnu Katsir menjelaskan satu prinsip dan kaedah dalam memahami Al Qur’an berdasarkan ayat ini bahawa meskipun ayat ini bersifat khusus ditujukan kepada Bani Israel kerana kontek ayat sebelum dan sesudahnya ditujukan kepada mereka, namun secara esensi bersifat umum ditujukan untuk mereka dan selain mereka. Bahkan setiap ayat Al Qur’an, langsung atau tidak langsung sesungguhnya lebih diarahkan kepada orang-orang yang beriman, kerana hanya mereka yang mahu dan siap menerima pelajaran dan petunjuk apapun dari Kitabullah. Maka peristiwa yang diceritakan Allah Taala tentang Bani Israil, terkandung di dalamnya perintah agar orang-orang yang beriman mengambil pelajaran dari peristiwa yang dialami mereka. Begitulah kaedah dalam setiap ayat Al Qur’an sehingga kita boleh mengambil bahagian dari setiap ayat Allah subhanahu wa ta’ala. “Al Ibratu bi ’Umumil Lafzhi La bi Khusus Sabab. Yang harus dijadikan dasar pedoman dalam memahami Al Qur’an adalah umumnya lafazh, bukan khususnya sebab atau peristiwa yang melatarbelakanginya.”


Dalam Islam, sabar itu terbahagi kepada tiga:

  • Sabar untuk taatkan perintah Allah.
  • Sabar untuk meninggalkan larangan Allah.
  • Sabar dalam menghadapi musibah (ujian) daripada Allah.


Daripada pembahagian sabar ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa tanpa sabar kita tidak akan dapat mencapai matlamat ubudiyyah (penghambaan) kepada Allah. Dengan sabar kita akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat, manakala tanpa sabar kita akan kehilangan segala-galanya.Mari kita memperincikan ketiga-tiga peringkat sabar itu:


  • Sabar dalam Mentaati Perintah Allah


Bukan mudah untuk melakukan ketaatan kerana ia sesuatu yang tidak disenangi oleh hawa nafsu yang ada dalam diri kita sendiri. Usaha melakukan ketaatan samalah seperti “berperang” dengan sendiri. Namun, bagi orang yang sabar, ia melihat bahawa ketaatan itu umpama ubat – pahit tetapi itulah yang akan menyembuhkan. Walaupun betapa pahitnya mujahadah, sanggup ditempuh jua kerana mengharapkan manisnya syurga.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Perintahkanlah keluargamu supaya menunaikan solat dan bersabarlah dalam melakukannya. Kami tidak akan minta rezeki kepadamu (bahkan) Kamilah yang memberikan rezeki. Dan akibat terpuji adalah bagi orang yang bertaqwa.” (Surah Taha 20: 132)
Kalau kita benar-benar mengharapkan syurga, sabarlah dalam menempuh jalan ketaatan ini sepertimana Rasulullah s.a.w. dan 10 orang para sahabatnya yang telah dijamin syurga. Bagaimana mereka rela berkorban dan terkorban untuk beriman dan berhijrah di jalan Allah. Mereka sanggup hidup miskin, dihina, diboikot, meninggalkan kampung halaman, hatta mengorbankan nyawa untuk mentaati Allah dan Rasul.
Untuk “bersama” berada di jalan mereka, renungilah perintah Allah ini, mafhumnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja dengan mengharap keredhaan-Nya. Dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaan itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi 18: 28)
Bukan mudah untuk mencari rezeki yang benar-benar halal akhir zaman ini. Apabila kita menolak riba, pendedahan aurat, rasuah, judi, arak daripada sumber-sumber yang haram dan syubhat, besar kemungkinan kita tidak dapat merebut peluang membuat kekayaan atau terlambat untuk menikmati kesenangan.
Namun mereka tetap menahan diri (sabar) kerana mengenangkan sabda Rasulullah s.a.w. ini, maksudnya: “Janganlah kamu merasakan bahawa rezekimu lambat datangnya, kerana sesungguhnya seorang hamba akan mati sehingga datang kepadanya rezeki yang terakhir (yang ditentukan untuknya), maka tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki, yakni dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram.” (Riwayat …)


  • Sabar Meninggalkan Maksiat



Walaupun meninggalkan maksiat tidak memerlukan tenaga berbanding melakukan ketaatan yang memerlukan tenaga, namun para ulama menyatakan bahawa meninggalkan maksiat jauh itu lebih berat daripada melakukan ketaatan. Contohnya, untuk meninggalkan perbuatan mengumpat, kelihatannya agak lebih mudah daripada memberi nasihat. Meninggalkan mengumpat, kita perlu “berdiam” diri sahaja. Sedangkan untuk memberi nasihat kita perlu mengeluarkan tenaga dan usaha untuk berkata-kata, mencari bahan dan masa.
Namun, hakikatnya meninggalkan perbuatan mengumpat lebih payah daripada memberi nasihat kerana ia sangat disukai oleh hawa nafsu. Menceritakan aib orang lain lebih menyeronokkan daripada mengenang aib diri. Malah sering kali kita bercerita tentang kelemahan orang lain di belakangnya untuk menunjukkan kelebihan diri kita. Jadi, dalam pergaulan sesama manusia misalnya, apa-apa yang dilarang (diharamkan) melakukannya adalah lebih utama dilaksanakan berbanding dengan apa-apa yang disuruh lakukan.
Lihat sabda Rasulullah s.a.w. ini yang bermaksud: “Jangan kamu saling marah-memarahi, jangan kamu saling berhasad dengki, jangan kamu kata-mengata.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tegasnya, tidak menimbulkan kebuntuan dalam pergaulan sesama manusia lebih perlu diutamakan daripada menghulurkan bantuan. Kata bijak pandai ini boleh dijadikan panduan: “Jika tidak dapat menjadi garam yang memasinkan ikan, janganlah jadi lalat yang membusukkannya.”


  • Sabar Ketika Ditimpa Musibah



Sabar jenis yang ketiga ini berada di luar ikhtiar manusia. Taat dan maksiat masih tergantung kepada kehendak manusia (masih boleh membuat pilihan), tetapi musibah datang terus daripada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah.” (Surah al-Taghabun 64: 11)

Manusia tidak mampu menahan musibah. Dalam hidup ini sering berlaku sesuatu yang tidak diingini, tidak dijangka apatah lagi yang diharapkan. Maka ketika itu hanya dengan bersabar kita boleh berdepan dengannya. Apa yang berlaku dalam hati kita sebenarnya lebih penting berbanding dengan apa yang berlaku di luar diri kita. Jadi jika sifat sabar sudah tersemat dalam hati, musibah dari luar yang besar bagaimanapun akan dapat dihadapi dengan sebaik-baiknya.

Ada pandangan yang mengatakan bahawa sabar jenis yang ketiga inilah yang paling tinggi darjatnya, justeru kepedihan yang menimpa di hati sangat pedih. Orang boleh bersabar dengan kesusahan melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat, tetapi derita kegagalan, kematian, penyakit dan lain-lain musibah lebih menekan hati. Manakala ada pula yang berpandangan, musibah jenis yang pertama dan kedua lebih sukar kerana ia adalah musibah yang ikhtiyari (secara sedar dan boleh membuat pilihan), manakala kesabaran jenis yang ketiga lebih bersifat ijbari (terpaksa, tidak ada pilihan).


Sabar Dengan Solat


Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.(Al-Baqarah 2:153)

Huzaifah bin Yaman menuturkan, “Pada malam berlangsungnya perang Ahzab, saya menemui Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam, sementara beliau sedang solat seraya menutup tubuhnya dengan jubah. Bila beliau menghadapi persoalan, maka beliau akan mengerjakan solat.” Bahkan Ali bin Abi Thalib menuturkan keadaan Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam pada perang Badar, “Pada malam berlangsungnya perang Badar, semua kami tertidur kecuali Rasulullah, beliau solat dan berdo’a sampai pagi.”


Dalam riwayat Ibnu Jarir dijelaskan bagaimana pemahaman sekaligus pengamalan sahabat Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam terhadap ayat ini. Diriwayatkan bahawa ketika Ibnu Abbas melakukan perjalanan, kemudian sampailah berita tentang kematian saudaranya Qatsum, ia langsung menghentikan kendaraanya dan segera mengerjakan solat dua raka’at dengan melamakan duduk. Kemudian ia bangkit dan menuju kenderaannya sambil membaca, “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’.

Sabar ini adalah satu bentuk nasihat yang mujarab untuk diri sendiri,iaitu orang yang mengalami sesuatu ujian dan dugaan,sabar inilah yang menjadi nasihat untuk diri sendiri yang paling hampir.


Hikmah Sabar


Menerangkan bagaimana orang-orang beriman apabila menerima tamparan hebat sesuatu keadaan,mereka menjadikan solat sebagai satu bentuk pertolongan dalam menghadapi sesuatu keadaan yang jika dicari pertolongan itu pada orang lain,mungkin sukar diberikan,namun jika dicari dengan cara solat,inn syaAllah,Allah berinya ketenangan dan kelapangan serta satu jalan keluar keatas apa yang berlaku,kerana Allah mengetahui apa yang seseorang itu benar-benar perlukan ketika itu,sama ada harus ditemteramkan perasaan,atau diberikan sesuatu yang denganya boleh melupakan sifat marahnya ?namun sebenarnya orang itu hanya perlu sabar dan terus sabar dan solat itu mampu membuatnya tenteram dan membuat apa yang berkecamuk didalam fikiran selain memberikan kelapangan yang tadinya terasa seperti dunia ini menghimpit dirinya itulah perbezaanya sebelum dan sesudah antara sabar dan solat.Kerana,sabar ini bersifat perbuatan,jika ia tidak sabar,ia menterjemahkan dengan perbuatan lisan atau tingkah laku.Begitu juga dengan sabar,menterjermah dengan perbuatan dan amalan yang tentunya memberikan hasil tidak terhingga perkiraanya (tanpa hisab).

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 2: 177)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan berikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka berkata, ‘Kami milik Allah dan kepada-Nya jua kami akan dikembalikan.’ Mereka itulah orang yang mendapat rahmat daripada Tuhannya dan merekalah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah 2: 155-157)

Andai kata seseorang itu tergolongan dan terdorong oleh sifat marahnya yang tidak putus-putus (sifat panas baran),maka bolehlah berdoa kepada Allah s.w.t agar sifat sabar itu mengiringi sifat marah.Iaitu sabar dikala marah,juga perbuatan-perbuatan meredam kemarahan itu dapat mendidik agar sabar mampu mengawal diri serta tawakal (sesudah usaha),dan inn syaAllah,moga dengan amalan ini memberikan berita gembira serta mendorong seseorang itu berpeluang besar agar tidak dihisab dihari orang-orang dihisab amalan mereka,serta berpeluang besar untuk dimasukan kedalam syurga Allah s.w.t.

Dan ucapan mereka itu adalah:

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkannya), keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” (Surah al-Ra‘d 13: 23-24).





This post first appeared on Islam Syariah Info, please read the originial post: here

Share the post

Hikmah Sabar Dan Solat

×

Subscribe to Islam Syariah Info

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×