Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Pedoman Mengaji

Pedoman Mengaji
Pedoman Mengaji
Agar mengenal Perkara Dan Makna
Istilah
1. Terjemah
2. Tafsir
3. Takwil
4. Tadabbur
TERJEMAH:
Mengalihkan bahasa daripada bahasa arab (bahasa Quran) kepada bahasa yang lain. Terjemahan mempunyai dua kaedah.
1. Secara huruf
2. Secara makna
Secara HURUF bermaksud terjemahan satu persatu perkataan dalam Ayat yang lengkap. Secara MAKNA pula bermaksud ia diterjemahkan dengan keterikan makna-makna sebenar yang dikehendaki oleh ayat yang lengkap tersebut (tak semestinya diterjemahkan kesemua satu-satu perkataan tersebut).
Pada terjemahan tidak boleh membuat penghuraian meluas melebihi dari sekadar mencari padanan kata.
Jadi, terjemahan al-Quran ini memerlukan orang yang pakar dalam bahasa arab dan bahasa yang hendak diterjemahkan.
TAFSIR:
Maksud perkataan: Fassara – yufassiru- tafsiran yang bererti keterangan atau huraian. Ia Adalah satu ilmu yang menerangkan tentang maksud ayat yang sebenar dikehendaki oleh Allah SWT.
Jenis-jenis tafsir ada dua: tafsir bil-ma’tsur dan tafsir bir-ra’yi.
1. Tafsir Bil-Ma’tsur adalah tafsir yang menggunakan al-Qur’an atau As-Sunnah sebagai sumber penafsirannya.
2. Tafsir Bir-Ra’yi adalah tafsir yang menggunakan akal sebagai sumber penafsirannya
Dan mempunyai beberapa jenis kaedah penafsiran: tafsir tahlili, tafsir ijmali, tafsir muqaran, tafsir Maudhu’i
- Tafsir tahlili (detail): Tafsir secara terperinci dari segenap aspek.
- Tafsir ijmali (umum): Tafsir secara singkat dan umum, tanpa huraian yang panjang, tapi memadai makna yang dikehendaki dalam ayat.
- Tafsir muqaran (perbandingan): Membandingkan antara ayat-ayat (Quran dan hadits) dan juga membandingkan antara tafsiran ulama-ulamak tentang ayat tersebut.
- Tafsir Maudhu’I (tajuk): Tafsir mengikut tajuk yang dibincangkan dan datangkan ayat-ayat Quran berkenaan tajuk tersebut.
Penafsiran Al-Quran itu tidak boleh dilakukan oleh orang biasa, melainkan dilakukan langsung oleh Rasulullah SAW kerana Rasulullah SAW itu merupakan Al-Quran yang bergerak.
وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلْهَوَىٰٓ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْىٌ يُوحَىٰ
“Dan dia tidak berbicara menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (Surah An-Najm : 3-4)
Selain itu, yang berhak menafsirkan Al-Quran adalah para sahabat Rasulullah SAW kerana mereka pernah hidup bersama Rasulullah SAW. Seterusnya adalah murid-murid(tabi'in dan tabi'it tabi'in) para sahabat Rasulullah SAW yang telah menimba ilmu dari Rasulullah.
Sampai kepada kita, semua tafsir itu sudah menjadi bentuk tulisan yang tersusun rapi berjilid-jilid yang telah disusun serta diatur dengan kaedah ilmu tafsir oleh mufassirn (ahli tafsir seperti ulama tafsir misalnya Ibnu Katsir).
Jadi, Tafsir memerlukan syarat yang sangat ketat untuk mempelajarinya kerana ia bercakap tentang maksud Allah SWT kehendaki daripada ayat tersebut.
TAKWIL:
Maksudnya: Memalingkan lafaz dari maknanya yang zahir kepada makna lain(makna tersirat) yang dipunyai lafaz tersebut itu. Jadi, Tafsir adalah menerangkan makna lafaz(ayat) melalui pendekatan riwayat, sedangkan Takwil melalui pendekatan dirayah(kemampuan ilmu).
Tafsir adalah lebih umum manakala Takwil lebih khusus. Contohnya takwil berkenaan ayat-ayat mutasyabihat. Jadi mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat itu sebenarnya boleh diertikan sebagai mentafsirkan ayat mutasyabihat. Kerana tafsir bertujuan mengetahui maksud ayat sebenar, dan takwil juga mengetahui maksud ayat sebenar tetapi ia lebih khusus. Jadi dengan kata lain, tidak semua tafsir itu disebut takwil, dan semua takwil adalah tafsir.
Dalam Tafsir boleh dinyatakan: demikianlah yang dikehendaki oleh Allah, tetapi dalam Takwil tidak boleh menyatakan: demikianlah yang dikehendaki Allah SWT.
TADABBUR:
Tadabbur menurut bahasa berasal dari kata دبــر yang bererti menghadap, membelakangi. Jadi, tadabbur boleh dimaksudkan memikirkan ibrah disebalik, atau pengajaran disebalik atau akibat dari sesuatu atau memikirkan maksud akhir dari sesuatu.
Tadabbur adalah aktiviti merenung dan meresapi makna yang terkandung di dalam Al-Quran
Tadabbur Al-Quran tidak memerlukan syarat-syarat khusus, cukup untuk memahami makna ayat secara umum dan mengambil pelajaran darinya dan diperintahkan kepada semua manusia yang berakal, untuk mengambil manfaat dan menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk.
BEBERAPA PERKARA PENTING:
1. Terjemah, Tafsir, dan Takwil adalah tugas para alim ulama. Orang biasa hanya membaca terjemahan, dan membaca(menaqalkan) tafsir yang telah dikarang oleh ulama tafsir.
2. Hakikatnya, kita hanya membaca terjemahan yg ditulis ulama, bukan menterjemahkannya sendiri. Terjemahan sendiri perlu berhati-hati kerana dibimbangi apa yang kita terjemahkan itu tidak selari atau sepadan dengan maksud apa yang dikehendaki al-Quran.
3. Perbezaan antara tafsir dan tadabbur. Kata Sheikh Solah Abdul Fatah Al-Khalidi(ulama’ tafsir):
“Tafsir itu adalah proses mencari makna sebenar bagi satu-satu ayat Quran. Adapun tadabbur adalah kita menghayati ayat Quran, merenung lama sesuatu ayat dan cuba mengaitkannya dengan situasi yang sedang berlaku di sekeliling kita. Akhirnya kita cuba mengaplikasikan pemahaman dan penghayatan kita terhadap ayat itu dalam kehidupan kita seharian dan dalam menghadapi ujian kehidupan”
4. Tujuan utama tafsir adalah mengetahui makna atau maksud yang dikehendaki, manakala tujuan utama tadabbur pula adalah mengambil manfaat, membina iman, dan membaiki akhlak. Dengan kata mudah, tafsir menguatkan ilmu, tadabbur menguatkan iman dan amalan.
5. Tafsir tidak menuntut kita untuk mengambil pengajaran dan beramal dengannya kerana boleh jadi seseorang yang bukan Islam menafsir makna-makna Al-Quran, manakala tadabbur menuntut kita untuk mengambil PENGAJARAN dan BERAMAL dengannya.
7. Menuntut ilmu tafsir secara umumnya adalah fardhu kifayah manakala amalan dari tadabbur adalah fardhu ‘ain. Perlu difahami bahawa Tadabbur adalah maqasid(matlamat) al-Quran diturunkan. Tafsiran adalah wasilah(jalan) untuk kita tadabbur al-Quran. Tafsir ayat yang dilakukan oleh mufassirin di dalam kitab mereka, adalah termasuk juga apa terhasil dari tadabbur mereka.
Allah berfirman dalam ayatnya:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ [ص : 29]
“ Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan supaya mereka memperhatikan ayat-ayat-Nya dan supaya mendapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Sad :29).
أفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا [محمد : 24]
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?” 
(Surah Muhammad : 21)
أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلافًا كَثِيرًا (٨٢)
“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu mentadabbur isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya”
(Surah An-Nisa’ : 82)
Pada ayat yang pertama di atas, Allah menjelaskan bahwa HIKMAH diturunkannya al-Quran adalah agar supaya manusia mentadaburi ayat-ayat yang ada di dalamnya. Sedangkan pada ayat yang kedua, Allah MENCELA orang-orang yang tidak mentadabbur al-Qur’an.


This post first appeared on Islam Syariah Info, please read the originial post: here

Share the post

Pedoman Mengaji

×

Subscribe to Islam Syariah Info

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×