Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Dunia Teknologi Sepanjang 2017

Tags: arena turut ramai

31 Disember tiba sekali lagi, dan kali ini memperlihatkan tahun 2017 melabuhkan tirainya. Sekali lagi, tahun ini menyaksikan pelbagai perkembangan pesat dalam Arena teknologi, dan kali ini kami menghimpunkan pelbagai perkara utama yang berlaku dalam arena teknologi sepanjang 2017 memfokuskan kepada pengguna umum.


Kebocoran Data Pengguna

Bercakap mengenai tahun 2017, semestinya salah satu perkara yang mengejutkan Ramai pengguna tempatan adalah kebocoran data pengguna – memperlihatkan lebih 50 juta rekod data tertiris dan dijual pihak tidak bertanggungjawab di arena web. Rekod ini meliputi rekod daripada syarikat telekomunikasi, JobStreet dan sebagainya. Sehingga kini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan info lanjut mengenai siapakah dalang disebaliknya, dan mungkin kita akan mendengar mengenainya pada 2018 kelak.


Kriptowang

Salah satu perkara yang menjadi bualan hangat pada tahun ini adalah mengenai arena duit digital, atau kriptowang. Selain hanya peminat teknologi, ia Turut menerima fokus mereka yang terlibat dalam arena kewangan – apatah lagi memandangkan peningkatan drastik nilai Bitcoin sendiri mencapai lebih RM70,000, selain beberapa kriptowang yang lain.


Arena E-Dagang Terus Menjadi Perhatian Ramai

Dunia E-Dagang terus menjadi perhatian ramai, apatah lagi di Malaysia pihak kerajaan telah melancarkan inisiatif DFTZ yang menyaksikan pelaburan tinggi dalam menjadikan Malaysia sebagai hab untuk e-dagang. Tidak ketinggalan juga adalah syarikat gergasi seperti Alibaba dan sebagainya terus mempertingkatkan pelaburan mereka di Malaysia – selain mendidik lebih ramai pengguna, peniaga dan usahawan untuk beralih ke arena e-dagang.


Projek Rintis Dompet Digital Dimulakan Ramai

Dengan perkembangan arena teknologi, industri kewangan turut menerima impak positif. Di Malaysia, kita telah menyaksikan sejumlah perkhidmatan dan aplikasi dompet digital memulakan projek rintis sebagai persediaan untuk tahun 2018 kelak. Antara syarikat yang telah memulakan projek rintis adalah termasuk Digi, Boost yang dimiliki Axiata, Maybank, Alipay, dan sebagainya. Touch ‘n Go serta pelbagai syarikat lain turut dijangka melakukan perkara sama pada 2018 kelak – disamping Bank Negara Malaysia sendiri menyediakan piawaian khas kod QR dan sebagainya untuk tujuan berkenaan.


Peranti Ke Arah Nirbingkai

Dunia peranti mudah-alih juga agak menarik perhatian pada 2017 ini. Dengan pelbagai peranti yang kini menawarkan ciri-ciri popular seperti kalis air dan dwi-kamera, satu lagi arena yang menjadi perlumbaan ramai sepanjang 2017 ini adalah penawaran peranti dengan skrin nirbingkai, serta menggunakan skrin 18:9 bersama-sama dengannya.


Privasi dan Sekuriti

Privasi dan sekuriti terus menjadi igauan ramai sepanjang 2017 ini. Dengan lebih ramai menggunakan peranti mudah-alih dan perkhidmatan berasaskan web – ia turut menjadi sasaran pihak pengodam dan sebagainya. Sejumlah aplikasi dilihat mengakses data pengguna untuk mengumpulkan apa yang anda buat, selain pada masa yang sama tidak ketinggalan perkhidmatan web dan aplikasi yang menggunakan sumber kuasa PC anda untuk melombong kriptowang.


Kecerdasan Buatan Dan Pembelajaran Mesin

Kemajuan teknologi turut membawa kepada penambah-baikkan dalam arena kecerdasan buatan dan juga pembelajaran mesin. Dua syarikat yang menerajui perkara ini adalah Google dan Amazon, selain turut diikuti oleh pelbagai syarikat teknologi lain. Pembantu maya digital juga turut semakin pintar dalam memudahkan pelbagai urusan harian – selain peranti mudah-alih yang kini hadir dengan kuasa pemprosesan neural khusus bagi mempercepatkan lagi proses berkenaan.

Perkembangan arena ini juga turut menyumbang kepada penambah-baikkan dalam industri robotik dan kenderaan swapandu.


Arena Permainan Video Dan E-Sukan Semakin Popular

2017 turut menyaksikan perkembangan pesat dalam arena permainan video dan arena e-sukan. Pelbagai acara e-sukan telah mula dianjurkan dengan aktif di Malaysia, malah Majlis Sukan Negara turut dalam proses menubuhkan unit sukan elektronik tersendiri.

Perkembangan ini juga turut menyaksikan permainan video berasaskan PC kembali popular setelah sekian lama menyepi, selain Nintendo yang kembali menjadi bualan ramai melalui konsol Nintendo Switch.


Penyebaran Berita Palsu Meningkat

Dengan populariti arena media sosial, salah satu masalah yang hadir sama adalah penularan berita-berita palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab. Perkara ini turut menjadi semakin kronik apabila terdapat akhbar yang turut mengambil dan menerbitkan berita palsu dan tidak tepat – sekaligus menimbulkan kegusaran dikalangan pembaca. Kerajaan sendiri menasihatkan pengguna menyemak terlebih dahulu sesuatu berita, dan melancarkan sebuah portal khusus untuk membolehkan pengguna menyemak sesuatu berita sebelum berkongsi dengan yang lain.


Stories Dimana-mana Dan Populariti Video Meningkat

Dengan akses internet yang lebih pantas pada hari ini, kini ia dilihat kandungan berbentuk video semakin popular – sekaligus membolehkan lebih ramai menerbitkan kandungan dengan mudah teurs menggunakan telefon pintar mereka.

Ini juga secara tidak langsung membuatkan pelbagai laman sosial memfokuskan kepada video siaran langsung, selain ciri seumpama Stories yang membolehkan anda berkongsi kandungan berbentuk video dan gambar yang hilang dalam tempoh 24 jam.


Jadi, ini adalah antara rangkuman ringkas daripada kami di Amanz berkaitan arena teknologi dan digital sepanjang 2017 ini. Bagi anda sendiri, apakah berita teknologi yang benar-benar mencuri perhatian anda sepanjang 2017 ini?



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Dunia Teknologi Sepanjang 2017

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×