Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Pulangan Pelaburan Adalah Untung Takaful Keluarga

Produk-produk Takaful keluarga boleh dihimpunkan dalam dua sektor: individu dan kelompok. Secara keseluruhannya semua produk takaful keluarga dengan tempoh matang 5 tahun, 10 tahun, 15 tahun dan sehingga 40 tahun yang menyediakan semacam program kewangan atau pelaburan jangkapanjang dihimpunkan di bawah sektor individu kerana penyertaan produk-produk ini hanya terbuka kepada orang-orang perseorangan sahaja. Sementara produk takaful keluarga dengan tempoh penyertaan selama setahun yang boleh diperbaharui sebaik tempohnya tamat yang secara umumnya menyediakan semacam program perlindungan bersama seperti tabung khairat dihimpunkan di bawah sektor kelompok kerana penyertaan produk-produk ini hanya terbuka kepada badan atau institusi bagi pihak ahli atau pekerja sebagai orang yang dilindungi. Pemisahan kedua-dua sektor ini wajar dilakukan kerana asas perakaunan kedua-duanya tidak sama.

pelaburan takaful

Bagi sektor individu, mana-mana orang yang bercadang untuk menyertai produk-produk takaful berkenaan, yang dipanggil Pelan Takaful Keluarga Dengan Tempoh Matang (PTK), pada dasarnya dikehendaki membuat dua penentuan. Pertama dia kena memilih tempoh matang PTK yang bersesuaian dengan sasaran atau tujuan tabungannya dan kedua menetapkan amaun wang sumbangan sebagai caruman untuk PTK pilihannya itu. Seperti bayaran premium insurans nyawa, Wang Caruman PTK boleh dibayar samada sebulan sekali, tiga bulan sekali, enam bulan sekali atau setahun sekali. Lat bayaran ini adalah mengikut pilihan orang atau peserta berkenaan. Apapun bagi memudahkan pentadbiran, lazimnya pihak pengendali, termasuk Takaful Malaysia, hanya akan membenarkan peserta membayar sendiri secara langsung bagi kaedah bayaran secara enam bulan sekali atau setahun sekali sahaja. Jika lat bayaran yang dipilih adalah sebulan sekali dan tiga bulan sekali maka kaedah bayaran yang amat sesuai dan mudah dipantau adalah dengan cara samada melalui potongan gaji atau arahan tetap bank. Satu ketika dulu bank hanya boleh membenarkan arahan tetap dari akaun semasa sahaja tetapi dengan kemudahan teknologi dan perbankan elektronik akaun simpanan juga boleh dibuat arahan tetap.

Sesungguhnya pada masa ini kaedah bayaran bukan lagi menjadi suatu halangan jika ada pihak yang memikirkan menjadi suatu bebanan kepada peserta untuk membayar wang caruman setahun sekali secara sekaligus. Bagi Takaful Malaysia enam dari sepuluh orang peserta PTK mengaturkan bayaran wang caruman mereka melalui potongan gaji. Umumnya majikan termasuk pihak swasta bersedia memberi kemudahan potongan gaji ini sebagai manfaat kepada warga kerja mereka masing-masing. Selain itu, ada juga peserta menggunakan kad kredit atau caj kad. Bagi yang mengurusbayar melalui arahan tetap bank, Bank Islam Malaysia Berhad misalnya menyediakan khidmat yang istimewa kepada peserta-peserta Takaful Malaysia dengan mengenakan bayaran perkhidmatan yang minima sahaja.

Apa jua kaedah atau cara dan lat bayaran yang diatur, peserta PTK wajar memastikan wang caruman dibayar dan diterima oleh pengendali takaful mengikut jadual yang telah ditetapkan. Barangkali berbeza dengan produk tabungan lain seperti akaun simpanan perbankan, amanah saham, simpanan tetap dan yang seumpamanya, penyertaan PTK akan dikira batal jika tiada wang caruman dibayar. Mengikut kontrak, wang caruman hendaklah dibayar oleh peserta sehingga genap tempoh matang selagi peserta masih hidup. Memastikan bayaran dibuat mengikut jadual dan lat yang telah ditetapkan sebagaimana yang telah dipersetujui peserta sendiri merupakan salah satu hak dan kewajipan yang perlu dipatuhi oleh semua peserta mengikut kontrak PTK.

Selaras dengan pelaksanaan PTK yang berasaskan kontrak al Mudharabah, wang caruman peserta itu merupakan modal al Mudahrabah yang mana apa-apa pulangan keatasnya akan tertakluk kepada perkongsian sebagaimana yang ditentukan mengikut kontrak tersebut. Oleh yang demikian, jika putus bayaran wang caruman maka berlaku pecah kontrak al Mudharabah. Dengan ini secara tegas pihak-pihak yang berkontrak secara otomatik akan gugur segala manfaat yang diperuntukkan dalam kontrak terbabit. Kepada peserta, ini bererti sasarannya untuk menabung bagi mengumpul sejumlah wang sebagai bekalan hari tua atau sebagai bekalan untuk ahli keluarga dan orang tersayang jika ditakdirkan maut memanggilnya terlebih awal tidak akan tercapai. Dalam konteks inilah PTK secara tidak langsung melatih peserta supaya gigih dan berdisiplin dalam usaha menabung serta merancang belanjawan peribadi dengan teratur agar wang caruman dapat terus dibayar mengikut jadual dan lat yang ditentukan.

Wang caruman sebagai modal al Mudharabah yang dibayar oleh peserta itu akan dimasukkan ke dalam Kumpulanwang Takaful Keluarga (KTK) yang dipecahkan pula kepada Akaun Peserta (AP) dan Akaun Khas Peserta (AKP). Bahagian caruman untuk AKP merupakan wang tabarru’ atau pemberian oleh peserta untuk tujuan khusus iaitu sumbangan kearah menyediakan bantuan kewangan kepada mana-mana rakan peserta yang ditimpa musibah. Kadar tabarru’ AKP ini dibuat mengikut asas perkiraan berpandukan prinsip aktuari dan disisi undang-undang hendaklah diperakukan oleh seorang aktuari yang bertauliah. Yang demikian sebagai pengendali, Takaful Malaysia tidak boleh secara sewenangnya menentukan kadar tabarru’ sendirian mengikut kemahuan dan seleranya. Dalam hubungan ini juga asas perkiraan aktuari pula perlu tertakluk kepada jadual kemortalan mengikut asas minima yang ditetapkan oleh pihakberkuasa. Asas minima ini penting kerana AKP akan tertakluk kepada penilaian berkanun setiap tahun mengikut peruntukan Akta Takaful 1984.

Oleh kerana jadual kemortalan diasaskan kepada perkiraan kematian sebenar sejumlah pemegang polisi insurans nyawa mengikut peringkat setiap umur bagi satu tempoh tertentu, biasanya dalam tempoh lima tahun maka secara umumnya ia adalah agak sederhana. Yang demikian mengikut perkiraan aktuari kadar tabarru’ tidak tinggi. Dalam amalan Takaful Malaysia kadarnya ini dalam lingkungan daripada 3% sehingga 13% jumlah wang caruman. Namun kadar sebenar bergantung kepada umur peserta dan tempoh matang PTK yang disertai. Oleh itu baki wang caruman selepas mengambilkira kadar tabarru’ akan dikreditkan ke dalam AP sebagai tabungan dan simpanan peserta.

Keseluruhan wang caruman dalam AP dan AKP akan dilaburkan dalam bidang yang diluluskan oleh Syariah. Apa-apa pulangan keatas pelaburan merupakan keuntungan daripada kegiatan operasi takaful keluarga. Berpandukan kontrak al Mudharabah yang membawa maksud berkongsi untung maka apa-apa keuntungan yang diperolehi daripada pulangan pelaburan tersebut akan dikongsi diantara peserta sebagai pihak yang menyumbang modal dengan pengendali sebagai pihak yang mengusahakan pelaburan. Nisbah perkongsian ditentu dan dipersetujui pada masa penyertaan dibuat. Jika nisbah perkongsian 70:30 maka 70% keuntungan tersebut akan menjadi hak peserta dan 30% bakinya merupakan hak pengendali. Nisbah perkongsian ini tidak sama dengan kadar faedah. Di bawah perkongsian al Mudharabah amaun untung yang akan diperolehi oleh peserta bergantung kepada keuntungan sebenar yang dihasilkan. Sementara faedah mesti dibayar samada pelaburan itu sendiri untung atau rugi. Di bawah sistem faedah penyumbang modal tetap akan memperolehi habuan atau imbuhannya dan ini adalah riba.

The post Pulangan Pelaburan Adalah Untung Takaful Keluarga appeared first on ERATUKU.



This post first appeared on Eratuku, please read the originial post: here

Share the post

Pulangan Pelaburan Adalah Untung Takaful Keluarga

×

Subscribe to Eratuku

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×